Buka Siasatan Terbuka Saya Tiada Masalah, Ini Beza Saya Dengan Najib – Anwar

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia sekiranya siasatan kerugian berjumlah RM31.5 bilion dalam ‘skandal forex’ dibuka semula.

Membandingkan dirinya dengan Najib, beliau menegaskan tidak ada masalah jika Peguam Negara mahu membuka kes itu sekarang dan menyerahkan pihak kerajaan hari ini untuk membuat keputusannya.

“Pendirian saya jelas, kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri, sila beritahu Peguam Negara buka siasatan terbuka.

“Saya tiada masalah. Saya banyak kali cakap benda ini di Parlimen.

“Ini beza saya dengan Najib. Saya tidak mahu ada mana-mana kes di mana ahli politik menggunakan jentera politik dan kerajaan untuk menutup kes dan mendera orang,”
katanya dalam Debat Perdana dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) malam tadi.

Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan Najib mengenai isu siasatan RCI kerugian mata wang pada 1994 yang tidak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu.

Selain itu katanya beliau tidak mahu kertas siasatan itu melindungi mana-mana ahli politik dan bertindak menutup kes berkenaan.

“Jangan gunakan alasan apa yang menghalang Peguam Negara membuka semula kes.
“Perdana Menteri sekarang UMNO, ambillah tindakan,” tegasnya.

Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM31.5 bilion akibat skandal berkenaan dari 1991 hingga 1994 semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.