Cyberjaya – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa rumah ibadat peribadi yang didirikan secara tidak sah di atas tapak cadangan pembinaan Masjid Dengkil akan dirobohkan sekiranya tidak dikosongkan dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata langkah itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan penyelesaian segera demi kepentingan umat Islam di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, tapak berkenaan bukanlah tanah milik rasmi mana-mana pihak dan pembinaan rumah ibadat tersebut tidak memiliki pengiktirafan undang-undang.
“Ia hanya tempat ibadat peribadi dan bukannya masjid atau rumah ibadat berdaftar. Maka, tidak wajar didirikan di atas tanah yang telah diperuntukkan untuk pembinaan masjid bagi manfaat komuniti Islam setempat,” katanya, dipetik Kosmo! semasa sidang media di Sabak Bernam.
Amirudin juga menjelaskan bahawa pemilik struktur berkenaan telah memberikan persetujuan untuk mengosongkan kawasan tersebut, dan kerajaan negeri akan menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh sebulan.
“Mengikut titah Tuanku (Sultan Selangor), kami akan mengambil tindakan dalam tempoh sebulan bagi menyelesaikan isu ini. Kita tegas dalam isu ini, namun keharmonian kaum dan agama akan terus terpelihara,” katanya.
Projek pembinaan Masjid Dengkil ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuhkan kemudahan ibadah untuk komuniti setempat yang semakin berkembang pesat.