MELAKA – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, menerima tamparan hebat apabila tewas dengan majoriti besar dalam cubaan merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya dalam pemilihan parti yang berlangsung semalam.
Adam, yang dilihat sebagai antara figura muda paling menonjol dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), hanya memperoleh 791 undi, jauh ketinggalan di belakang pencabarnya Zamzizul Nordin yang meraih 1,905 undi – satu jurang kekalahan yang besar dan mengejutkan ramai pemerhati politik tempatan.
Kekalahan ini berlaku ketika pasukan yang diketuai oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang turut bertanding bagi jawatan Ketua Cabang, mencatat kemenangan menyeluruh dalam semua jawatan utama di cabang tersebut.
Shamsul, yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, menang bergaya dengan 1,995 undi, menewaskan penyandang, Mohd Rafee Ibrahim (736 undi), dan menyaksikan semua jawatan kanan lain turut dimenangi calon-calon dari pasukannya.
Kekalahan Adam dilihat sebagai isyarat jelas bahawa pengaruh beliau di peringkat akar umbi khususnya di Melaka, masih belum cukup kuat berbanding nama-nama lama yang lebih berpengalaman di cabang tersebut.
Sementara itu, keputusan penuh boleh disemak menerusi laman rasmi pemilihan parti di pemilihan.keadilanrakyat.org.