Insta Lux jadi tumpuan pelancaran “Explore Together” oleh myFirst di Malaysia

Dalam dunia di mana kanak-kanak semakin terdedah kepada teknologi sejak usia muda, cabaran sebenar bukan lagi bagaimana untuk menjauhkan mereka daripada gajet, tetapi bagaimana memastikan teknologi itu digunakan dengan cara yang lebih selamat, kreatif dan bermanfaat. Inilah pendekatan yang cuba dibawa oleh myFirst menerusi pelancaran kempen terbaharu mereka, “Explore Together”, yang bukan sekadar memperkenalkan produk baharu tetapi juga sebuah ekosistem teknologi mesra keluarga.

Pelancaran yang berlangsung di Kuala Lumpur ini memperkenalkan beberapa peranti generasi baharu yang direka khas untuk kanak-kanak dan keluarga moden. Tumpuan utama sudah tentu kepada kamera cetak segera terbaharu mereka, myFirst Insta Lux, yang boleh dianggap sebagai salah satu gajet paling menarik dalam barisan produk kali ini. Berbeza dengan kamera segera biasa yang hanya memberi pengalaman mengambil dan mencetak gambar, Insta Lux cuba membawa konsep itu selangkah lebih jauh dengan menggabungkan kreativiti digital dan kenangan fizikal dalam satu peranti yang mesra kanak-kanak.

Secara ringkasnya, Insta Lux adalah kamera cetak segera berwarna yang direka dari perspektif kanak-kanak sendiri. Ia hadir dengan kamera hadapan dan belakang 5MP, paparan IPS bersaiz 2.8 inci untuk memudahkan kanak-kanak membingkai gambar, serta sambungan WiFi yang membolehkan ia berhubung dengan aplikasi keluarga. Apa yang menarik, kamera ini bukan sekadar untuk mengambil gambar secara terus ibu bapa juga boleh menghantar gambar daripada telefon pintar mereka melalui aplikasi myFirst Circle untuk dicetak terus dari kamera tersebut.

Ciri ini mungkin nampak kecil, tetapi sebenarnya ia memberi pengalaman yang agak unik. Bayangkan ibu bapa mengambil gambar ketika bercuti menggunakan telefon mereka, kemudian menghantar gambar tersebut ke kamera anak untuk dicetak sebagai kenangan fizikal. Ia menjadikan teknologi bukan sekadar alat hiburan, tetapi medium untuk berkongsi momen keluarga secara lebih interaktif.

Dari segi kualiti cetakan pula, Insta Lux menggunakan teknologi dye-sublimation yang menghasilkan cetakan warna lebih terang dan tahan lama berbanding teknologi cetakan segera biasa. Ia juga menyokong storan sehingga 64GB, pengecasan USB-C, serta beberapa penapis dan bingkai kreatif yang membolehkan kanak-kanak bermain dengan gaya visual mereka sendiri. Rekaan ergonomiknya juga jelas dihasilkan dengan mengambil kira tangan kecil kanak-kanak, menjadikannya mudah dipegang dan digunakan.

Walaupun Insta Lux menjadi bintang utama pelancaran ini, sebenarnya myFirst turut memperkenalkan beberapa gajet lain yang melengkapkan ekosistem teknologi keluarga mereka.

Salah satu yang menarik perhatian ialah myFirst Fone M1, sebuah jam tangan telefon pintar untuk kanak-kanak yang hadir dengan sambungan 4G, penjejakan GPS masa nyata, serta fungsi panggilan suara dan video. Ia direka sebagai cara selamat untuk memperkenalkan komunikasi digital kepada kanak-kanak tanpa perlu memberikan telefon pintar sepenuhnya kepada mereka. Dengan integrasi aplikasi keluarga yang sama, ibu bapa masih boleh memantau komunikasi serta lokasi anak mereka dengan lebih mudah.

Bagi keluarga yang suka berkongsi kenangan visual di rumah pula, myFirst Frame Clario menawarkan konsep bingkai gambar pintar bersaiz 7 inci. Ia membolehkan gambar dikongsi secara peribadi dalam kalangan ahli keluarga, dan turut menyokong panggilan video satu sentuhan. Menariknya, ia juga dilengkapi fungsi soundscape ambien yang boleh membantu mewujudkan suasana lebih tenang di rumah.

Untuk aspek kreativiti pula, myFirst Sketch Board Pro memberi alternatif kepada masa skrin biasa dengan menawarkan tablet lukisan digital yang ringan dan mudah digunakan. Ia membolehkan kanak-kanak melakar idea, melukis atau sekadar mencatat imaginasi mereka tanpa gangguan aplikasi lain seperti pada tablet biasa.

Dalam kategori audio, myFirst CareBuds Max pula direka khusus untuk kanak-kanak dengan had volum pintar antara 85 hingga 94dB bagi melindungi pendengaran mereka. Reka bentuknya ringan dan cup telinga boleh ditukar, menjadikannya lebih menyeronokkan untuk digunakan oleh kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak yang suka mencipta sesuatu dengan tangan sendiri, myFirst 3dPen Make Creator Kit mungkin menjadi pilihan paling menarik. Kit ini membolehkan mereka menghasilkan model 3D menggunakan pen khas dengan filamen PCL yang selamat dan suhu rendah. Ia bukan sekadar alat bermain, tetapi juga alat pembelajaran yang membantu membina kreativiti spatial, kesabaran dan fokus.

Menariknya, keseluruhan pelancaran ini tidak dilakukan dalam format konvensional seperti pembentangan produk biasa. Sebaliknya, tetamu dibawa melalui beberapa zon pengalaman interaktif yang memperlihatkan bagaimana produk-produk ini saling berhubung dalam ekosistem keluarga. Konsep ini menjadikan acara tersebut terasa lebih seperti sebuah pameran pengalaman teknologi berbanding pelancaran produk semata-mata.

Bagi keluarga yang ingin mencuba sendiri produk-produk ini, myFirst juga akan mengadakan roadshow awam di Sunway Pyramid dari 26 hingga 29 Mac 2026. Pengunjung boleh mencuba sendiri kamera Insta Lux, mencetak foto secara langsung, serta melihat bagaimana peranti-peranti lain dalam ekosistem myFirst berfungsi bersama.

Secara keseluruhannya, pendekatan myFirst kali ini agak menarik kerana mereka tidak sekadar menjual gajet untuk kanak-kanak. Sebaliknya, mereka cuba membina sebuah ekosistem teknologi yang menyokong kreativiti, komunikasi keluarga dan penggunaan digital yang lebih selamat. Dalam dunia di mana kanak-kanak semakin terdedah kepada skrin sejak kecil, idea untuk menjadikan teknologi sebagai alat penerokaan bersama keluarga mungkin adalah sesuatu yang sangat relevan.

Dan jika dilihat dari sudut gajet semata-mata, myFirst Insta Lux sendiri sudah cukup menarik sebagai kamera pertama untuk kanak-kanak bukan sekadar kerana ia boleh mencetak gambar, tetapi kerana ia menjadikan setiap gambar itu sesuatu yang boleh disentuh, disimpan dan dikongsi bersama keluarga.

myFirst Camera Insta Lux serta keseluruhan rangkaian “Explore Together” kini boleh didapati melalui laman web rasmi myFirst, serta platform Shopee and Lazada .

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat