Jangan Terkejut Kalau Saya Berserban – Norhizam

- Advertisement -

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee memberi bayangan untuk menyertai parti Pas selepas setahun menabur khidmat sebagai wakil rakyat bebas.

Wakil rakyat yang sering menarik perhatian, bukan sahaja di Melaka tetapi juga seluruh negara rentetan beberapa kontroversi sebelum ini sehingga digelar ‘YB Viral’ itu, mengakui menerima pelbagai tawaran untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak

“Saya boleh cakap hari ini secara jujur, saya telah dilamar oleh bukan sahaja Pas, saya dilamar oleh UMNO dan juga Perikatan Nasional (PN) dan saya sedang pertimbangkannya.

“Cuma pada saya, buat masa ini sebagai wakil rakyat saya kena tumpu kerja saya pada rakyatlah. Yang mengundi adalah rakyat, jadi kita buat kerja untuk rakyat, nak mengundi atau tidak itu terpulang.

“Saya percaya ramai yang akan datang esok (nanti) bila saya umumkan, tetapi jangan terperanjat kalau saya dah berserban, kan mahu jadi baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum dan Penyerahan Lesen Sampan Khas Negeri Melaka di Empangan Sungai Batu Hampar di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai teka-teki hala tujunya pada PRU15 selepas menjadi wakil rakyat bebas sejak pertukaran kerajaan pada Mac tahun lalu juga berkata, dia turut tidak menolak untuk terus kekal sebagai wakil rakyat bebas.

“Saya tidak perlu takut sebab saya dah kata hari ini rakyat pandai menilai siapakah pemimpin yang boleh buat kerja dan turun padang.

“Tetapi insyaAllah lah saya akan istiqomah, saya akan solat waktu malam untuk pastikan parti mana yang akan saya sertai. Kalau tidak, sebagai calon bebas pun boleh, saya kan ‘YB Viral’ ada logo sendiri, bendera sendiri, apa nak takut,” selorohnya lagi.

Norhizam sebelum ini dipecat oleh Lembaga Disiplin Parti DAP selepas menyatakan sokongan kepada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan negeri Melaka yang baharu dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat bebas.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat