Penyanyi dan usahawan acara, Rayme Zainal kembali dengan buah tangan terbaharu sempena Aidilfitri menerusi single raya berjudul Gema Raya. Lagu tersebut tampil dengan pendekatan lebih rancak dan moden, menggabungkan elemen muzik Timur Tengah dan Melayu yang kini menjadi trend dalam lagu-lagu raya kontemporari.
Menariknya, Gema Raya merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Rayme sendiri. Pada usia 47 tahun, beliau memilih untuk mempertaruhkan genre yang lebih ‘catchy’ dan bertenaga, dengan harapan dapat menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Rayme, lagu itu disuntik dengan mesej ringan dan ceria, selari dengan semangat menyambut Aidilfitri. Walaupun berentak rancak dengan pengaruh Arab, beliau tetap memastikan identiti muzik Melayu tidak diketepikan.
“Lagu ini dirangka supaya mudah diterima dan dekat dengan suasana raya. Saya mahu ia memberi rasa keterujaan dan kegembiraan apabila didengar, sama ada di rumah, di pusat beli-belah atau di festival,” katanya.
Tambah beliau, penghasilan lagu tersebut bukanlah sekadar memenuhi musim perayaan, tetapi sebagai salah satu momen penting dalam perjalanan kerjaya seninya. Sebelum ini, Rayme pernah dikenali menerusi lagu seperti Andai dan Close To You, selain pengalaman sebagai peserta rancangan realiti All Together Now (2022) dan juara pertandingan nyanyian dalam talian anjuran Sajakiri Music.

Single Gema Raya turut dipilih sebagai lagu tema bagi Festival Gema Raya Putrajaya 2026@PICC, festival raya berskala besar yang dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Festival yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu dijangka menghimpunkan hampir 300 vendor dengan sasaran kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.
Acara berkenaan menggabungkan elemen keusahawanan, seni budaya, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti, menjadikannya lebih daripada sekadar bazar raya biasa.
Lebih menarik, festival itu akan diserikan dengan persembahan artis popular tanah air termasuk Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali. Turut memeriahkan acara ialah Bella Astillah, Didie Shazry serta kumpulan Alpha.
Dengan gabungan lagu tema yang segar dan penganjuran festival bertaraf mega, Rayme Zainal dilihat bukan sahaja aktif dalam bidang nyanyian, malah semakin kukuh sebagai peneraju acara hiburan dan perayaan berskala besar di negara ini.



