Nasib dan masa depan Hamzah dalam Bersatu belum ditentukan

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Bersatu setakat ini belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sumber dalaman parti berkata, Lembaga Disiplin masih meneliti dan sebarang ketetapan hanya akan dibuat selepas mengambil kira semua prosedur dalaman bagi memastikan ketelusan.

“Demi keadilan, Lembaga Disiplin parti belum membuat sebarang keputusan berkenaan perkara itu (status Hamzah dalam parti).

“Beliau (Hamzah) kini berada di luar negara dan tidak dapat hadir (untuk proses berkaitan),” menurut BH pada Jumaat.

Mengulas lanjut, sumber itu meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi liar yang boleh mengeruhkan keadaan, sebaliknya memberi ruang sepenuhnya kepada proses keadilan parti mengikut saluran ditetapkan.

Isu kedudukan Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, mula menjadi bualan susulan desas-desus mengenai perpecahan kepimpinan dalaman Bersatu.

Sebelum ini, terdapat spekulasi yang mengaitkan nama Hamzah dengan beberapa tindakan disiplin, namun pucuk pimpinan parti menegaskan Bersatu kekal teguh di bawah teraju Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemerhati politik melihat Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebagai watak utama dalam mengemudi strategi politik Perikatan Nasional (PN), dan sebarang keputusan mengenai status beliau dijangka memberi impak besar kepada hala tuju parti dalam mendepani landskap politik tanah air.

Setakat ini, pihak media masih menantikan kenyataan rasmi daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu atau Setiausaha Kerja parti bagi mengesahkan garis masa keputusan tersebut akan diumumkan.

Sebelum ini, Hamzah dilaporkan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu serta serangan terhadap Muhyiddin.

Berdasarkan notis kedua yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, bertarikh 6 Februari lalu dan dilihat BH, sebanyak empat aduan disiplin difailkan terhadap Hamzah, masing-masing bertarikh 30 September tahun lalu dan 5 Februari lalu.

Pada 8 Februari lalu melaporkan, Hamzah sepatutnya memberi keterangan pada jam 12 tengah hari semalam di Ibu Pejabat Bersatu.

Antara lain, Hamzah didakwa gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan menyerang Muhyiddin serta mencemarkan imej Bersatu.

Aduan lain termasuk gagal menghalang rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) tanpa mandat parti termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif PN yang sudah ditolak Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Hamzah juga didakwa mencemarkan imej Muhyiddin kerana membuat kenyataan tidak dijemput ke pertemuan membabitkan presiden parti komponen PN pada 28 Januari lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat