KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan RM150 juta untuk memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) mencukupi di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan inisiatif itu dalam sesi penerangan khas berkait isu padi dan beras di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Mohamad berkata, peruntukan itu digunakan untuk menstabilkan bekalan dengan sasaran pengeluaran 24 juta kampit mengandungi 10kg BPT bagi menampung permintaan selain mengekalkan harganya pada kadar RM2.60 sekilogram.
Menurutnya, kerajaan akan melihat perkembangan pelaksanaan inisiatif itu dalam tempoh enam bulan sebelum memutuskan langkah seterusnya.
“Kerajaan akan mengekalkan beras putih tempatan pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran di sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan,” katanya.
Pada 25 Mac tahun lepas, Mohamad ketika mengulas isu kekurangan BPT dilapor berkata situasi itu berpunca daripada perubahan corak permintaan pengguna susulan peningkatan harga beras putih import (BPI).
Pada Mei tahun sama, Mohamad dilapor berkata isu berhubung bekalan beras tempatan akan berterusan selagi tahap sara diri (SSL) bagi bahan itu tidak mencapai 80 peratus.
Menurutnya, tahap SSL beras tempatan negara adalah pada 62 peratus hingga 63 peratus kini.
Sementara itu, hari ini, Mohamad mengumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Kedah pada 27 Feb bagi pelancaran projek penanaman padi lima musim dua tahun, yang menelan belanja RM1 bilion sepanjang tahun ini.