KUALA LUMPUR – Kerajaan memilih untuk memajak 28 helikopter AugustaWestland 139 bagi mengoptimumkan perbelanjaannya dengan mengagihkan RM16.6 bilion lebih mampan dalam tempoh 15 tahun.
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat berkata, perjanjian pajakan itu meliputi penyelenggaraan, perlindungan insurans dan latihan untuk lebih 1,300 anggota, dengan jaminan ketersediaan fleet ke tahap minimum 85 peratus untuk semua agensi menggunakan helikopter.
Pada akhir tempoh pajakan, beliau berkata, kerajaan diberi pilihan membeli setiap helikopter pada harga nominal RM1.
“Melalui inisiatif pajakan ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dalam fasa pembekalan helikopter tersebut.
“Malahan, segala kos timbul dalam tempoh masa pembekalan ini, termasuk kos-kos latihan bagi kru penerbangan akan dibiayai syarikat konsesi sehingga aset tersebut diterima kerajaan,” katanya sambil menambah model pajakan sama digunakan negara seperti Perancis, Kanada dan UK.
Azalina menjawab soalan Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) berhubung peruntukan RM16.6 bilion untuk pajakan helikopter yang dibandingkan dengan kos RM9.8 bilion bagi menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).
Minggu lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mengkritik keputusan menyewa helikopter itu atas alasan pembelian terus daripada pengeluar hanya menelan belanja RM3.954 bilion.
Beliau memetik Poland membeli 32 helikopter AW139 pada kos USD2 bilion (RM3.95 bilion), termasuk pakej pemasangan dalam negara.
Mengenai kebimbangan Mumtaz terhadap LPT3, Azalina berkata, pajakan helikopter dan projek lebuh raya adalah keutamaan kerajaan, tetapi faktor seperti keselamatan, kesediaan operasi dan kemampanan kewangan memerlukan langkah untuk memperkukuh fleet helikopter semakin usang.
Menurutnya, kebanyakan helikopter sedia ada kerajaan berusia 12 hingga 32 tahun, dengan beberapa daripadanya digunakan secara berlebihan untuk misi kritikal.
Katanya, LPT3 masih dalam penelitian kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan Kelantan dan Terengganu.
“Penelitian ini termasuk aspek jajaran dan pendekatan pembangunan yang akan dilaksanakan bagi memastikan ianya benar-benar memberi ‘value for money’ dan manfaat kepada rakyat,” katanya.