UPNM meterai kerjasama tenaga solar, jimat kos elektrik RM1.3 juta setahun

PUTRAJAYA,— Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijangka menjimatkan kos bil elektrik tahunan kira-kira RM1.3 juta menerusi pelaksanaan Projek Sistem Tenaga Solar hasil kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Synergy Generated Sdn. Bhd..

Penjimatan tersebut susulan pemeteraian Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu bagi pelaksanaan projek tenaga solar di kampus UPNM, sekali gus menandakan langkah strategik universiti dalam memperkukuh kecekapan kos operasi serta menyokong agenda kelestarian tenaga negara  .

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) berkenaan berlangsung di Zenith Hotel, Putrajaya, melibatkan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad; wakil TNB Retail; serta pihak Synergy Generated Sdn. Bhd.

Melalui pelaksanaan projek ini, UPNM akan menggunakan tenaga solar pada kadar tarif yang lebih kompetitif berbanding bekalan tenaga konvensional daripada grid nasional. Penjimatan kos yang dicapai dijangka memberi impak langsung kepada pengurusan kewangan universiti, sekali gus membolehkan sumber kewangan dioptimumkan bagi tujuan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan  .

Projek Sistem Tenaga Solar berkenaan akan dibangunkan secara menyeluruh merangkumi aspek reka bentuk, pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem. Ia melibatkan beberapa lokasi strategik di dalam kampus UPNM termasuk bumbung bangunan, kawasan parkir kenderaan dan laluan pejalan kaki.

Tempoh perjanjian selama 21 tahun turut memastikan kestabilan bekalan tenaga serta pulangan jangka panjang yang mampan kepada universiti, selari dengan perancangan kewangan dan pembangunan institusi secara berterusan  .

Selain penjimatan kos elektrik, projek ini turut memberi nilai tambah kepada UPNM melalui peruntukan dana penyelidikan sebanyak RM50,000 setahun, peluang latihan industri kepada pelajar, serta peningkatan kemahiran teknikal kakitangan melalui pendedahan kepada teknologi tenaga boleh baharu.

Menurut pihak universiti, inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional, malah memperkukuh daya tahan institusi dalam jangka panjang selari dengan aspirasi Pelan Strategik UPNM30 (2025–2030), selain menyokong peranan UPNM sebagai universiti berteras pertahanan yang menitikberatkan aspek keselamatan tenaga negara.

Kerjasama strategik ini turut menggabungkan kepakaran TNB sebagai peneraju utiliti elektrik negara dan Synergy Generated Sdn. Bhd. sebagai syarikat tempatan berpengalaman dalam pembangunan sistem tenaga solar, sekali gus mewujudkan ekosistem mampan yang mengintegrasikan industri, akademia dan kelestarian alam sekitar.

UPNM yakin projek tenaga solar ini akan menjadi model rujukan kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam usaha mengimbangi penjimatan kos, penjanaan nilai ekonomi serta tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar secara serentak  

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat