Akar umbi Pas tak puas hati dengan Adun, Pemuda Pas Gombak sedia lawan Bersatu di Gombak Setia

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Gombak menyatakan kesediaan untuk mencabar Bersatu di DUN Gombak Setia pada pilihan raya akan datang, selaras dengan seruan Pemuda Pas Selangor yang mahu parti itu menjadi wakil Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut.

Ketua Pemuda Pas Gombak Abu Ubaidah Abdullah memberitahu, sokongan terhadap langkah itu berpunca daripada sentimen akar umbi Pas di Gombak Setia yang didakwa semakin tidak berpuas hati dengan kepimpinan wakil rakyat sedia ada.

Menurutnya, ahli dan petugas Pas yang bekerja keras memenangkan PN pada pilihan raya lalu merasakan mereka dipinggirkan, malah tidak merasai kebersamaan dengan Adun yang dilantik selepas kemenangan tersebut.

“Tanpa sentuhan dan kebersamaan Adun yang dilantik, jerih perih petugas di peringkat akar umbi seolah-olah tidak dihargai,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar berpandangan partinya wajar bertanding di DUN Gombak Setia, yang kini disandang Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham. Hilman menang kerusi itu dengan majoriti tipis 58 undi.

Hilman pada Ahad dilaporkan meminta semua parti komponen PN diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan.

Ia susulan Presiden Pas merangkap Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang mengusulkan supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.

Dalam pada itu, Abu Ubaidah turut menyentuh isu-isu melibatkan wakil rakyat dan pembantunya yang didakwa memberi kesan negatif kepada moral petugas serta keyakinan ahli parti di kawasan berkenaan.

Katanya, ahli Pas di Gombak Setia berharap kepimpinan DUN tersebut diterajui individu yang berwibawa, berakhlak mulia dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat, lapor FMT.

“Atas asas itu, Pemuda Pas Gombak sedia ke hadapan menyahut seruan agar Pas meletakkan calon dan bertanding di DUN Gombak Setia bagi mewakili PN,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat