KUALA LUMPUR- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mencari jalan keluar dan berikhtiar untuk menangani isu gaji rendah membabitkan anggota baharu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengakui isu terbabit ada dibincangkan secara dalaman di peringkat kementerian.
“Hal itu memang dibincangkan secara dalaman oleh kami, ia dalam pengetahuan saya.
“Sudah tentu kita akan berusaha mencari ikhtiar, jalan keluar bagi mencari jawapan bagi perkara itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di Putrajaya lapor BH.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan setiap anggota baharu dalam PDRM boleh dikategorikan sebagai kumpulan miskin apabila menerima gaji permulaan sebanyak RM1,441.
Paling menyedihkan apabila anggota dalam kategori terbabit ditugaskan di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, yang menjadikan mereka sebagai miskin bandar.