Sektor Sarung Tangan Getah Hilang Daya Tarikan, Maybank Ib Saran ‘Jual’ Saham Hartalega, Kossan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prospek sektor sarung tangan getah suram meskipun ia pernah menjadi industri paling menguntungkan apabila tercetusnya pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Berikutan prospeknya yang kurang daya tarikan lagi, Maybank Investment Bank (IB) Research menyemak turun penarafan bagi sektor tersebut kepada ‘negatif’ berbanding ‘neutral’ sebelum ini.

Malah, penarafan bagi saham syarikat pengeluar sarung tangan getah, Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. juga disemak turun kepada ‘jual’ berbanding ‘pegang’ sebelum ini.

Tetapi, firma itu mengekalkan saranan ‘jual’ bagi saham Top Glove Corp Bhd.

“Kami kini menilai pemain industri ini pada -1 bagi standard piawaian (SD) berbanding -0.5 SD sebelum ini.

“Ia juga mencerminkan persaingan daripada pengeluar sarung tangan getah dari China semakin meningkat sekali gus memberi risiko penurunan kepada ASP,” katanya dalam nota kajian pada Isnin.

Maybank IB berkata, semakan penarafan bagi Hartalega dan Kossan dibuat setelah mengambil kira perubahan dalam asas penilaian (bagi Kossan) dan anggaran ASP lebih rendah (bagi tahun kewangan 2022 : -45%, 2023 : -21%) yang membawa kepada penurunan antara-1% hingga -76% bagi unjuran pendapatan.

“Bagaimanapun, apa yang positifnya, syarikat pengeluar sarung tangan getah tersenarai mempunyai imbangan tunai yang kukuh dan kos operasi rendah, sekali gus membolehkan mereka boleh bertahan dalam melalui fasa yang kompetitif ini,” jelasnya.

ASP bagi sarung tangan getah menurun dengan mendadak dan boleh mencecah paras sebelum pandemik menjelang pertengahan 2022, merosot 42% daripada paras ketika ini.

Sejak Mei hingga Jun tahun ini, pemain industri menunjukan prospek ASP yang lebih lemah. Ia dijangka menyusut antara 8 hingga 10% bagi bulan ke bulan dan kembali ke paras sebelum pandemik pada AS$23 hingga AS$24 per 1,000 keping.

“Lebih memburukkan keadaan adalah isu-isu seperti kadar penggunaan yang lebih rendah dan kos operasi tambahan disebabkan SOP yang ketat serta kekurangan tenaga buruh.

“Dalam hal ini, kami menjangkakan pendapatan yang lebih lemah pada suku-suku akan datang,” katanya.

Menurut firma itu lagi, dengan persaingan sengit daripada syarikat China, sektor sarung tangan getah di Malaysia berdepan dengan perubahan struktur dan situasi lebihan bekalan yang mungkin berlanjutan lebih lama berbanding tempoh biasa sekitar 6 hingga 9 bulan.

Katanya, ancaman daripada pengeluar China ini adalah sesuatu yang sukar dielakkan dengan mereka begitu agresif mengembangkan kapasiti hingga boleh menyebabkan lebihan bekalan berterusan sehingga 2023.

Tambahan pula, pengeluar China menjual dengan harga yang lebih menarik di Eropah berbanding firma dari Malaysia.

Menurut pemain industri, pengeluar sarung tangan getah China dijangka menyumbang sebanyak 23% daripada bekalan global pada 2022 berbanding buat masa ini, 16%.

Ini secara tidak langsung menjadikan penguasaan pasaran bagi Malaysia dijangka merosot kepada 60% pada 2022 berbanding 67% ketika ini.

“Namun, kedudukan imbangan tunai yang kukuh adalah penting bagi syarikat pengeluar dari Malaysia, kerana ia membolehkan mereka mengharungi saat-saat sukar dalam perang harga yang sukar dielakkan,” katanya.

*Berita asal di DagangNews.com

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,576FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat