Juruterbang Helikopter Yang Hilang Ditemui Selamat

- Advertisement -

TAPAH: Juruterbang sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor petang semalam ditemukan selamat di sekitar lokasi kejadian, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata juruterbang itu dijumpai pada 8.20 pagi ini dan pada masa ini pasukan penyelamat sedang berusaha membawa keluar juruterbang berkenaan untuk dihantar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan semua yang terlibat di dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam catatan menerusi Facebooknya hari ini.

Semalam Wee dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata SAR dihentikan sementara malam tadi memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan tidak menentu.

Pemerhatian Bernama mendapati operasi yang bersambung hari ini bermula seawal 7.30 pagi melibatkan lima kumpulan dan dipecahkan kepada dua sektor besar.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata operasi itu melibatkan kawasan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan dan turut memfokuskan pencarian dalam radius lima kilometer di kawasan Hutan Simpan Chikus, tempat isyarat terakhir mangsa sebelum hilang.

Ia melibatkan 10 pegawai dan 197 anggota daripada pelbagai agensi antaranya PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Perhutanan Negeri selain sebuah helikopter Unit Udara PDRM turut diterbangkan bagi mengesan mangsa.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat