Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan kempen ‘Taat Setia Rukun Negara’ sempena ulang tahun pengisytiharan ke-55 Rukun Negara tahun ini sebagai satu daripada usaha untuk meningkatkan penghayatan rakyat Malaysia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kempen ini diadakan untuk memperkukuh perpaduan nasional menerusi penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara, menggalakkan rakyat, terutamanya dalam kalangan generasi muda agar terus berpegang kepada asas pembentukan negara serta
mempertingkat kesedaran awam mengenai kepentingan taat setia kepada negara dan perlembagaan Malaysia.
“Semua rakyat Malaysia di dalam negara mahupun di luar negara digalakkan mengambil bahagian dalam kempen ini dengan memuat naik video dan gambar berkaitan Rukun Negara sepanjang bulan Ogos hingga 16 September ini, menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukunNegara #55TahunRukunNegara di platform media sosial masing-masing, ”katanya dalam kenyataan.
“Sepanjang sambutan Hari Kebangsan dan Hari Malaysia tahun ini, kementerian akan melaksanakan 11 inisiatif untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai wadah penyatupaduan rakyat Malaysia.
“Antaranya, Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Sambutan Anak Merdeka 31 Ogos, Program Malaysiaku Merdeka, Jejak Merdeka Gen Z, Pertandingan Pidato Rukun Negara dan Kembara Harmoni Merdeka, ”katanya lagi.
Ujarnya, Rukun Negara ialah asas kepada usaha memperkukuh
perpaduan, menjamin kestabilan, serta membina masa depan negara yang lebih mampan.
Tambahnya, Rukun Negara mencerminkan komitmen dan aspirasi nasional untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, adil, saksama, demokratik dan progresif.
“Kementerian berharap melalui kempen ini, rakyat Malaysia akan lebih menghargai, memahami, dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan dan keharmonian negara seterusnya membentuk masyarakat MADANI yang progresif, inklusif dan berintegriti, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV



