KUALA LUMPUR – Cadangan untuk membangunkan pos kawalan di Beting Patinggi Ali, kawasan perairan di luar pantai Miri, Sarawak perlu dikaji dan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan ia dapat memperkukuh keberkesanan tindakan kerajaan dalam memelihara kedaulatan maritim negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan mengiktiraf kepentingan strategik Beting Patinggi Ali yang berada dalam perairan maritim Malaysia berdasarkan peta Malaysia 1979 yang dikemas kini.
“Kerajaan sentiasa memantau perkembangan di Laut China Selatan, termasuk Beting Patinggi Ali, melalui kerjasama bersepadu pelbagai kementerian dan agensi di bawah mekanisme Whole-of-Government.
“Setiap agensi kerajaan memainkan peranan dalam mempertahankan kepentingan negara, dan sebarang keputusan untuk menubuhkan pos kawalan perlu membuktikan nilai tambah dalam meningkatkan keberkesanan langkah keselamatan yang sedang dijalankan.
“Majlis Keselamatan Negara, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa menjalankan rondaan, pemantauan serta operasi penguatkuasaan di zon maritim negara,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Larry Sng (PBM–Julau).
Larry bertanya sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan pos kawalan di Beting Patinggi Ali bagi menghalang pencerobohan asing.
Zaliha menambah bahawa rondaan dan operasi yang dijalankan berfungsi untuk menunjukkan kehadiran Malaysia dan melindungi kedaulatan negara daripada pencerobohan di kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih.
“Rondaan dan operasi berkala oleh pasukan keselamatan amat penting bagi memelihara aktiviti ekonomi seperti penerokaan dan pengeluaran hidrokarbon di kawasan itu, sekali gus memastikan perlindungan berterusan terhadap kedaulatan Malaysia,” katanya.
Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika (155 kilometer) dari pantai Miri, Sarawak dan berada dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
Sebelum ini, dilaporkan terdapat kehadiran kapal milik China Coast Guard (CCG) di kawasan tersebut.
Kementerian Pertahanan sebelum ini memaklumkan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa memantau enam kawasan maritim negara, termasuk Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu, bagi mengesan kapal mencurigakan dan kapal perang asing.



