Dua Lelaki Ditahan, Tiga Lagi Suspek Kes Pukul Di Tahfiz Dikenal Pasti

- Advertisement -

LIPIS – Dua daripada lima lelaki yang disyaki ‘menyerang’ sebuah pusat tahfiz serta memukul pengajar dan pelajar pusat berkenaan berjaya ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an berkenaan ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Damak di Jerantut hari ini.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan.

“Tiga lagi suspek masih dikesan termasuk seorang suspek utama yang telah dikenal pasti butiran peribadi dan usaha menangkap suspek sedang dipergiatkan.

Katanya kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan laporan kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu.

Katanya, berdasarkan maklumat awal pada pukul 5.10 petang semalam lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum tiga suspek bertindak menyerang mangsa.

“Dalam kejadian itu penjaga tahfiz mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut sakit di bahagian badan,” katanya.

Tular dalam media sosial hari ini beberapa rakaman video yang menunjukkan beberapa orang lelaki bertindak menyerang sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di sini semalam.

Dalam satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat