ZAHID PERLU BERJIWA BESAR DAN LETAK JAWATAN PRESIDEN UMNO

- Advertisement -

OLEH: HM

Suhu politik negara terus panas menggelegak dengan pelbagai situasi dan ketidaktentuan.

Paling menarik perhatian ramai, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos lalu mengumumkan parti itu menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, sebahagian Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengambil ketetapan sendiri dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN menerusi satu kenyataan bersama yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO.

Beberapa Ahli Parlimen lain pula termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin membuat kenyataan bahawa beliau mempunyai masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO dan mengambil pendirian akan terus menyokong kerajaan PN.

Datuk Seri Idris Jusoh pula dalam kenyataannya menyebut, menyokong Kerajaan PN adalah yang terbaik dalam situasi krisis kesihatan yang dihadapi negara sekarang.

Beliau juga mempersoalkan apa hala tuju UMNO selepas menarik sokongan itu. Adakah UMNO mahu kembali menjadi pembangkang, mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir Agama Islam?

Tegas beliau, situasi UMNO sekarang sentiasa berubah. Sebelum ini Presiden UMNO pernah berkata, Ahli-ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Parlimen. Tetapi kemudiannya mengarahkan pula untuk menarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri.

Sejarah perjuangan UMNO sememangnya panjang. Pemimpin parti datang dan pergi. Ini kerana UMNO secara hakikatnya bukan hak milik kekal seseorang Presiden.

Namun, apa yang berlaku hari ini disifatkan oleh pemerhati politik, jelas menampakkan UMNO sudah dijadikan hak milik peribadi umpama sebuah syarikat sendirian berhad.

Beberapa keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini dikatakan berlainan daripada apa yang disebut didalam kenyataan media oleh Presiden parti.

Ia termasuk keputusan menarik sokongan kepada kerajaan PN itu bukanlah keputusan sebulat suara oleh ahli-ahli MKT UMNO seperti yang didedahkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri.

Amatlah malang bagi UMNO jika Presidennya menjadikan parti itu umpama syarikat sendirian berhad dengan segala keputusan mesyuarat MKT tidak lagi dihormati. Sebaliknya keputusan yang berunsurkan kehendak peribadi disuarakan sebagai kata putus sebulat suara.

Wajarkah itu semua terjadi di dalam sebuah parti yang didokong bersama lebih 3.5 juta ahlinya? Adakah UMNO perlu dijadikan pihak yang ‘bail out’ kepada Presidennya yang terpalit dengan kredibiliti dan kepercayaan pimpinan sendiri?

Siapa pengkhianat parti sebenarnya? Pucuk pimpinan dan ahli akar umbi yang membantah atau Presiden yang berkepentingan peribadi mengikut telunjuk ‘Guru’ yang merangka gerak langkah?

Bukan lagi rahsia hubungan intim Presiden UMNO itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukti rakaman perbualan telefon yang tersebar meluas antara ‘murid dan guru’ itu akhirnya diakui sendiri kebenarannya oleh Datuk Seri Zahid.

Penganalisis politik mempersoalkan apakah ahli-ahli UMNO mahu mempertahankan seorang Presiden yang bermain retorik politik dengan menipu 3.5 juta ahlinya. Itukah yang ahli-ahli UMNO mahukan? Itukah sikap dan sifat seorang pemimpin yang mahu dijunjung dan ditaati?

Dengan deretan kes mahkamah yang dihadapi Datuk Seri Zahid, ramai yang berpandangan bahawa Presiden UMNO itu sudah sepatutnya berundur demi kebaikan parti.

Rata-rata penganalisis politik dan juga ahli akademik berpandangan bahawa pengunduran Datuk Seri Zahid sememangnya akan memastikan UMNO terus relevan dan tidak lagi terpalit dengan unsur-unsur negatif yang dibawa di dalam bagasi Presidennya.

Ternyata suara akar umbi UMNO tidak boleh dibendung lagi dengan gegantung bertebaran di jalanan yang mendesak Datuk Seri Zahid meletakkan jawatannya.

Malah di Bahagian Bagan Datoh sendiri dilaporkan lebih seratus gegantung dinaikkan dengan suara mendesak Datuk Seri Zahid meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

Suara itu bukan baru kedengaran sehari dua ini, malah ianya sudah lama kedengaran sejak beliau bercuti rehat selama enam bulan dan kembali menyambung tugas Presiden parti pada 30 Jun 2019.

Dilaporkan juga terdapat sebilangan besar Ketua-ketua UMNO Bahagian yang mengambil pendirian mahukan Presiden parti itu segera berundur untuk mengelakkan keadaan UMNO menjadi lebih parah.

Itu semua boleh disifatkan sebagai manifestasi penolakan pimpinan dan ahli akar umbi terhadap Presiden parti.

Dari sudut pandang rakyat jelata yang non partisan, mereka melihat UMNO adalah punca segala kekalutan politik yang berlaku sekarang.

UMNO kini dilihat lebih gilakan kuasa. Walaupun sudah bersama Kerajaan PN sejak Mac tahun lalu, hari ini tidak semena-mena mahu menumbangkan pula Kerajaan PN.

UMNO di bawah Datuk Seri Zahid kini dilihat sebagai rakan politik paling tidak boleh dipercayai lagi. UMNO kini disifatkan sebagai pengkhianat dan peruntuh kerajaan Melayu Islam PN yang pada awalnya menjadi harapan orang-orang Melayu.

Apa sebenarnya yang dimahukan oleh Datuk Seri Zahid? Jika sudah bersumpah tidak akan menyokong Anwar Ibrahim dan DAP, ke mana hala tuju UMNO hendak dibawa oleh beliau?

Jika beliau seorang yang bermaruah dan mengutamakan parti, ketepikan kepentingan peribadi. Beliau juga perlu berjiwa besar dalam situasi yang dihadapinya sekarang. Sayangkan UMNO, berundurlah secara terhormat.

Atau jika masih mahu berkhidmat, adalah lebih baik untuk terus kekal bersama kerajaan PN dan menggembleng tenaga membantu menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara.

Ungkapan kerajaan gagal sebenarnya hanyalah propaganda politik dan tidak mencerminkan kebenaran yang hakiki.

Hakikatnya, kerajaan negara-negara lain di seluruh dunia juga berdepan situasi sukar dalam menangani krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.

Disaat negara dan rakyat berdepan situasi getir melawan pandemik Covid-19, pemimpin politik tidak seharusnya bercakaran merebut kuasa dan pengaruh.

Menukar kerajaan yang ada hari ini tidak sesekali menjamin situasi pandemik, krisis kesihatan dan ekonomi berubah sekelip mata menjadi baik esok harinya.

Sesungguhnya, rakyat sudah muak dengan drama perebutan kuasa politik yang tidak berkesudahan sejak pasca PRU14.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat