Ambil Pengajaran Peristiwa Letupan Di Lubnan

- Advertisement -

Oleh: Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri,

Apabila kejadian letupan yang berlaku di Beirut terjadi pada minggu lepas, pelantar media-media sosial di seluruh dunia juga turut sama “bergegar” dengan pelbagai teori dan konspirasi yang dicetuskan netizen. Jika diperhatikan ada juga diantara kita sendiri yang menganggap bahawa Lubnan sedang berada di ambang peperangan dengan Israel kerana pada ketika itu berlaku ketegangan hubungan antara kedua-dua buah negara.

Namun, pastinya tidak ramai yang mengetahui bahawa punca letupan yang dikenalpasti sudah mengorbankan hampir ratusan nyawa ini juga adalah disebabkan oleh faktor kecuaian manusia,sekaligus mengenepikan teori bahawa Beirut telah diserang oleh pihak Tel Aviv yang sudah lama mempunyai masalah dengan tentera Hizbollah di selatan Lubnan.

Menurut kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Lubnan, Perdana Menteri Lubnan sendiri iaitu Hassan Diab telah menyatakan bahawa punca kepada letupan yang besar itu adalah disebabkan oleh sejumlah 2750 ribu tan Ammonium Nitrat(AN) yang disimpan di sebuah gudang berdekatan pelabuhan.

Bahan AN yang meletup dalam kejadian tersebut adalah berpunca daripada simpanan bahan AN dalam sebuah kapal yang belayar dari Georgia ke Mozambique yang kemudiaanya transit di Beirut sejak dari bulan November tahun 2013.

Kapal tersebut yang kemudiannya ditinggalkan di pelabuhan tersebut dibiarkan begitu sahaja sungguhpun terdapat laporan bahawa pihak berkuasa tempatan sudahpun memberikan nasihat dan amaran tentang bahayanya kandungan bahan AN tersebut namun ianya tidak diendahkan oleh pengurusan pelabuhan.

Jika dilihat daripada perspektif sejarah,letupan yang disebabkan oleh tindakbalas daripada ammonium nitrat ataupun singkatannya AN ini sudahpun berlaku sejak pada tahun 1940an lagi. Kejadian letupan pertama akibat daripada ledakan AN berlaku pada bulan April 1947 di Texas apabila sebuah kapal yang membawa bahan AN ini terbakar apabila kapal tersebut cuba berlabuh di pelabuhan Texas City.

Kebakaran itu telah mencetuskan letupan dan percikan api yang sangat besar yang memusnahkan hampir seribu buah bangunan dan mengorbankan sebanyak 400 nyawa menurut sumber yang dipetik dari laman sesawang Texas Historical Association. Letupan itu berlaku akibat daripada percikan api kebakaran yang akhirnya menyebabkan sejumlah 2300 tan AN meletup menurut sumber daripada US Homeland Security.

Kejadian kedua letupan berskala besar yang berlaku disebabkan tindakbalas daripada bahan AN telah terjadi di Oklahoma,Amerika Syarikat pada tahun 1995 apabila serangan pengganas domestik menggunakan sejumlah 1800 tan metrik bahan AN yang telah mengorbankan sejumlah 169 orang dan mencederakan seramai 467 orang. Mungkin kejadian letupan bahan AN di Beirut baru-baru ini mencatatkan sejarah ketiga di dunia yang boleh direkodkan dalam sejarah pada ketika ini.

Namun, rakyat Malaysia tidak harus lupa bahawa di negara ini juga kita pernah mempunyai seorang pakar tentang pembuatan bom bagi pihak pengganas Jemaah Islamiyah. Yazid Sufaat, individu yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tentera berpangkat Kapten pernah memperoleh empat  tan ammonium nitrat pada 2000 sebagai persediaan dalam komplot pengeboman gagal di Singapura.

Tidak cukup dengan itu, Yazid juga sebelum ini pernah menghasil dan memasukkan anthrax ke dalam senjata di Afghanistan pada tahun 1990 an. Selain itu juga, Yazid disyaki mempunyai keterlibatan secara langsung dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur untuk membuat serangan menggunakan kapal terbang dalam serangan 911.

Bagi Malaysia, apa yang telah berlaku dalam peristiwa letupan di Beirut pada minggu lalu haruslah diambil ikitibar dan pengajaran. Antara faktor utama yang menyebabkan letupan itu berlaku adalah disebabkan oleh punca kelemahan kerajaan Lubnan yang berhadapan dengan pelbagai masalah pentadbiran dan hubungan diplmatik dengan negara-negara jirannya.

Kejadian letupan yang berlaku di Beirut ibarat menambah garam di luka kerana pada ketika sebelum letupan besar itu berlaku, Lubnan sedang menghadapi masalah penurunan mata wang yang sangat serius, selain daripada kehadiran pelarian perang dari negara Syria selain dari berhadapan dengan kesan daripada pandemic Covid19.

Tidak cukup dengan itu, siri gelombang penunjuk perasaan yang menyuarakan kemarahan mereka sejak musim luruh yang lalu terhadap ahli politik di Lubnan yang dianggap sebagai sentiasa melakukan kesilapan dalam mentadbir negara turut dijadikan sebagai punca mengapa Lubnan pada hari ini sedang menghadapi krisis yang boleh menjadikan Lubnan sebagai sebuah negara yang gagal(failed state).

Natijahnya, kita sebagai rakyat di dalam negara ini harus sedar bahawa sebarang kesilapan ataupun kegagalan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik kita dalam menjalankan urustadbir pentadbiran negara haruslah dielakkan supaya kecelakaan besar tidak akan berlaku pada masa akan datang.

Mentadbir negara bukanlah merupakan satu perkara yang mudah kerana ianya memerlukan komitmen, perancangan dan halatuju yang jelas agar negara dan rakyatnya mampu sama-sama bergerak kearah menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan progresif.

Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. Penulis adalah Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN. Universiti Utara Malaysia.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat