KUANTAN: Masyarakat Orang Asli akan diberi pemilikan tanah bagi memastikan kebajikan mereka terus dijaga dan tidak dipinggirkan.
Menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, seramai 359 Orang Asli akan menerima pemilikan tanah bagi meningkatkan sosioekonomi menerusi projek-projek ekonomi menerusi penubuhan Orang Asli Corporation (ORACO).
Kata Wan Rosdy lagi, Kerajaan Negeri juga turut merancang untuk melaksanakan Skim Tanah Rakyat Khas ini di kawasan-kawasan masyarakat Orang Asli yang lain bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.
“Kerajaan Negeri Pahang menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) semalam, telah bersetuju untuk memberi pemilikan tanah kepada masyarakat Orang Asli bagi memastikan kebajikan mereka terus dijaga dan tidak dipinggirkan.
“Menerusi penubuhan Orang Asli Corporation (ORACO), Kerajaan Negeri telah merancang untuk meningkatkan sosioekonomi Orang Asli menerusi projek-projek ekonomi yang akan dibangunkan di atas tanah milik mereka.
“Oleh yang demikian, sebagai pilot projek, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluluskan pengisytiharan kawasan Skim Tanah Rakyat Khas (STRK) Orang Asli di Kampung Orang Asli Kampung Mempelam dan Kampung Orang Asli Permatang Siput Fasa II di daerah Pekan yang akan dilaksanakan dengan penanaman kelapa sawit.
“Menerusi projek ini, seramai 359 orang peserta di kawasan tersebut akan mendapat manfaat.
Kerajaan Negeri juga turut merancang untuk melaksanakan Skim Tanah Rakyat Khas ini di kawasan-kawasan masyarakat Orang Asli yang lain bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.” Ujar Wan Rosdy menerusi catatan Facebooknya, pada Rabu.
Dalam pada itu, berharap, menerusi penubuhan ORACO, segala usaha Kerajaan Negeri bagi beliau masyarakat Orang Asli untuk keluar daripada kepompong kemiskinan akan dapat dilaksanakan. Insya-Allah.-SUARATV