KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak berhasrat melenyapkan Pulau Pinang seperti dituduh sebaliknya lebih kepada pembetulan tuntutan undang-undang berkaitan pemilikan negeri itu yang dibuat British sebelum ini.
Sanusi juga menyatakan beliau tidak akan melakukan kekejaman ke atas rakyat Pulau Pinang.
“Perkara utama yang saya tuntut ialah Pulau Pinang harus mengakui kesilapan, berlakunya penipuan sewaktu Kedah dipisahkan dari Pulau Pinang secara palsu
“Saya bukan nak pinda Perlembagaan, itu kena ada dua pertiga, sekarang saya tak dak.
“Kalau tak boleh cantum kembali (Kedah-Pulau Pinang), bayarlah pajakan ikut harga semasa. Saya pernah sebut sebelum ini RM100 juta setahun, mana ada dapat percuma.
“Saya dituduh melenyapkan Pulau Pinang, itu lagi teruk (tuduhan), rakyat Pulau Pinang tetap ada di sana,” kata Sanusi ketika siaran podcast Keluar Sekejap, malam tadi.
Ditanya adakah tuntutan beliau ke atas Pulau Pinang ini salah satu strategi politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), Sanusi menyangkalnya.
Sebaliknya, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS Pusat itu beliau membangkitkan isu Pulau Pinang hak Kedah sejak hari pertama beliau jadi ADUN Jeneri pada 2018.
“Dak, saya bercakap tentang Pulau Pinang hak Kedah ni hari pertama saya jadi ADUN sejak 2018. Saya serius saya tak main-main.
“Kalau ia terjadi pun cuma akan ubah struktur politik saja, dudukla situ di Pulau Pinang dengan aman damai. Saya tak zalim…ikut kerangka undang-undang,” jelas beliau.
Sebelum ini Sanusi terus menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut.
Jelasnya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.
Susulan itu, Sanusi akui setiap hari polis hadir ke pejabatnya merakam keterangan.