SUBANG, – Syarikat amanah patuh Syariah, Wasiyyah Shoppe Bhd, mengenal pasti empat punca utama yang menyumbang kepada peningkatan kes harta pusaka tertangguh dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin, berkata faktor pertama adalah peningkatan nilai hartanah yang menjadikan urusan pembahagian pusaka semakin kompleks.
“Kedua, aset masyarakat Islam kini semakin pelbagai dan kompleks, termasuk saham syarikat, akaun pelaburan serta emas. Ketiga, wujud sikap segelintir waris yang saling mempertikaikan hak masing-masing, dan keempat, tahap kesedaran masyarakat tentang perancangan harta masih rendah,” katanya pada satu taklimat media di sini hari ini.
Menurutnya, Wasiyyah Shoppe yang telah beroperasi lebih 20 tahun, berjaya menurunkan milik harta pusaka bernilai lebih RM1 bilion kepada waris-waris yang sah, membabitkan lebih 800 pelanggan yang telah meninggal dunia sehingga 31 Disember 2024.
Beliau menjelaskan bahawa urusan hibah dan pentadbiran pusaka adalah dua proses yang saling melengkapi masing-masing di bawah bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil yang perlu diselesaikan secara menyeluruh bagi menjamin hak waris.
Sehubungan itu, Wasiyyah Shoppe memperkenalkan perkhidmatan Al-Wasitah, iaitu pengesahan hibah dan pentadbiran harta pusaka secara percuma kepada waris, bagi mengelakkan kekeliruan dan beban kewangan tambahan.
“Susulan kes tular baru-baru ini, kami jangka permintaan terhadap Al-Wasitah akan meningkat secara ketara kerana semakin ramai mula menyedari pentingnya menyelesaikan kedua-dua proses tersebut,” katanya lagi.
Setakat ini, Wasiyyah Shoppe mempunyai 3,700 ejen profesional di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang berperanan penting dalam memberi kesedaran serta pendidikan mengenai pentingnya perancangan harta.
“Wasiyyah Shoppe tidak pernah mengabaikan aspek pendidikan berterusan kepada masyarakat kerana isu kematian dan pengurusan harta sering dianggap tabu untuk dibincangkan,” katanya sambil menyeru agar masyarakat yang memiliki aset seperti rumah atau akaun bank mula merancang harta mereka menggunakan kaedah sah, patuh Syariah dan menyeluruh demi kelangsungan waris.
Dalam perkembangan lain, Ariffin turut menjelaskan bahawa isu pembatalan hibah takaful yang tular baru-baru ini tidak melibatkan Wasiyyah Shoppe.
“Isu berkenaan adalah bersifat teknikal dan berkait dengan keabsahan Jadual 10 di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Ia tidak membabitkan operasi atau rekod Wasiyyah Shoppe,” tegasnya.
Sumber: Laporan Berita Harian, 12 Jun 2025
(“Wasiyyah Shoppe kenal pasti empat punca kes harta pusaka tertangguh”,