Tak berhasrat tanding mana-mana PRK untuk jadi MB Selangor – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sekali lagi menegaskan tiada sebarang niat untuk bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan akan ada PRK sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepadanya menjadi Menteri Besar Selangor, atau di peringkat Parlimen untuk beliau terus menjadi menteri, hanya spekulasi semata-mata.

Katanya lagi, beliau akan terus memberi tumpuan kepada portfolionya sebagai Menteri MITI selagi masih dalam Kabinet, atau sehingga tempoh senatornya tamat.

“Saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tentang kedudukan saya sebagai Menteri. Saya berniat untuk meneruskan sumbangan saya di dalam MITI, dan sudah tentu untuk menghabiskan tempoh senator saya, yang akan berakhir pada Disember.

“Dan saya sudah sebutkan banyak kali, bila saya keluar daripada Umno, saya tiada niat untuk menyertai sebarang PRK. Saya tidak tahu kenapa anda (media) sering bertanya soalan yang sama, ini semua adalah spekulasi.

“Dan keputusan saya keluar daripada Umno tiada kena mengena dengan dakwaan saya ingin memegang jawatan lain dalam kerajaan, baik sebagai menteri ataupun menteri besar,” katanya memetik Astro Awani pada Khamis.

Pada 30 Mei lepas, Tengku Zafrul mengumumkan pengunduran dirinya daripada Umno, selain memaklumkan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tambahnya lagi, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan Umno, dan turut melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli parti.

Ditanya mengenai perancangannya selepas tamat tempoh sebagai senator, Tengku Zafrul berkata beliau masih ingin terus menyumbang kepada negara dalam apa jua cara sekali pun.

“Ia tidak bermaksud anda harus ada kedudukan di dalam kerajaan. Anda masih boleh menyumbang kepada kerajaan, kepada negara dalam pelbagai cara.

“Bagi saya, itu penting. Tetapi dari sudut politik, saya masih ingin terus berkhidmat kepada negara, dan saya sudah sebutkan perkara ini sebelum saya menyatakan niat untuk menyertai PKR lagi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat