KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan bantuan anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dalam proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri, hari ini.
Langkah itu diambil selepas SPRM mengesyaki wujud bilik rahsia dalam kediaman individu terbabit di Bandar Tasik Selatan, Cheras yang menyimpan senjata serta aset bernilai berkait siasatan penyelewengan.
Sumber berkata, kehadiran anggota ACTS bersama dua pegawai penyiasat adalah bagi membantu menggeledah bilik tertentu yang dipercayai menyimpan aset hasil penyelewengan dana.
Difahamkan, sepasukan anggota ACTS menaiki empat kenderaan tiba di kediaman Tan Sri itu pagi tadi.
Sebuah kenderaan Toyota Vios berwarna putih yang membawa pegawai SPRM dilihat memasuki kediaman berkenaan jam 8.45 pagi, lapor BH pada Khamis.
Difahamkan, salah satu pintu masuk ke kawasan kediaman ahli perniagaan itu ditutup oleh polis bantuan sebuah syarikat keselamatan.
Kon dan penghadang turut diletakkan di laluan masuk premis berkenaan, manakala anggota polis bantuan dilihat menghalang petugas media daripada menghampiri lokasi.
Pada masa sama, proses merakam keterangan individu terbabit yang dikaitkan dengan siasatan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya disambung hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan sambungan proses rakaman keterangan ke atas individu bergelar Tan Sri itu sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan.
“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan kira-kira 53 saksi bagi kes berkenaan. Ramai lagi saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah Kali Ke-2 Tahun 2025 anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) hari ini.