Padam semua hantaran sebaran fitnah ibadah haji Izzah, mohon maaf terbuka – Ketua Cabang PKR Kepala Batas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang PKR Kepala Batas Zainuddin Mohamed menuntut semua pihak yang telah menyebarkan kandungan palsu fitnah ibadah haji Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan suami segera menarik balik dan memadamkan hantaran berkenaan, serta memohon maaf secara terbuka.

Zainuddin menegaskan, politik matang memerlukan fakta, hujah dan adab, bukan kebencian dan pembohongan.

“Saya, selaku Ketua Cabang PKR Kepala Batas, mengecam dengan sekeras-kerasnya penyebaran fitnah dan tohmahan jahat terhadap Nurul Izzah Anwar berhubung pelaksanaan ibadah haji beliau dan suami baru-baru ini.

“Tuduhan kononnya beliau menggunakan jet peribadi dan kemudahan mewah yang ditaja adalah satu fitnah keji dan tidak berasas, yang jelas bermotif politik murahan untuk mencemarkan imej beliau sebagai pemimpin muda yang berprinsip, berintegriti dan bersederhana.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian dan fitnah yang semakin berleluasa. Politik matang memerlukan fakta, hujah dan adab, bukan kebencian dan pembohongan.

“Sebagai Ketua Cabang PKR Kepala Batas, saya berdiri teguh bersama Nurul Izzah dan mengecam sebarang usaha untuk mencemar nama baik beliau serta mempermainkan isu ibadah yang suci ini,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Menurut Zainuddin lagi, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghormati dan menyanjung tinggi sesiapa sahaja yang berpeluang menunaikan haji. Ianya satu ibadah suci yang tidak wajar dijadikan bahan cercaan atau modal politik murahan.

“Seperti yang dijelaskan sendiri oleh Nurul Izzah, ibadah haji beliau dan suami ditunaikan menggunakan wang simpanan peribadi, melalui agensi pelancongan berlesen dan menggunakan visa mujamalah yang sah. Beliau dan suami menaiki penerbangan komersial biasa, bukan jet peribadi seperti yang difitnah.

“Penafian rasmi telah dibuat oleh Nurul Izzah sendiri melalui laman Facebook beliau pada 8 Jun 2025 (facebook.com/nurulizzahofficial) dan disahkan semula melalui laporan media seperti Sinar Harian (“Tiada jet peribadi, Haji guna wang sendiri” 9 Jun 2025) dan Malaysiakini (“Nurul Izzah nafi guna jet peribadi ke Makkah” 9 Jun 2025).

“Sehubungan itu, saya menuntut agar semua pihak yang telah menyebarkan kandungan palsu ini segera menarik balik dan memadamkan posting berkenaan, serta memohon maaf secara terbuka.Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan.” (Surah Al-Baqarah: 191).

“Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap mana-mana individu atau pihak yang terus menyebarkan fitnah ini,” tegasnya.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menafikan beliau dan suami, Yin Shao Loong mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci menggunakan pakej mewah termasuk jet peribadi.

Menerusi hantaran Facebook, Nurul Izzah menjelaskan, rukun Islam kelima yang ditunaikan bersama suami sebaliknya menggunakan penerbangan komersial selain wang simpanan sendiri.

Katanya, banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepadanya berkait perjalanan mengerjakan ibadah tersebut.

“Apabila ada sesuatu tidak benar tersebar begitu jauh daripada hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan. Syukur alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT melalui visa mujamalah.

“Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.

“Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji yang lain,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat