Maklum kekosongan kuota milik PKR tapi Amanah harap diberi jawatan dalam rombakan Kabinet

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Johor melahirkan harapan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peluang dalam Kabinet sekiranya melakukan rombakan susulan peletakan jawatan dua menteri baru-baru ini.

Naib Pengerusi Amanah Johor Dr Zuhan Zain berkata, pihaknya sedar kuota untuk dua jawatan menteri tersebut adalah milik PKR tetapi ketika ini ada parti lain yang sudah membuat tuntutan.

“Memang benar kekosongan dua kementerian itu merupakan kuota PKR, namun apabila Umno mula mencadangkan pemimpin dari luar PKR maka ia membuka ruang kepada semua parti dalam gabungan kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan calon masing-masing.

“Ini termasuk Umno yang dilihat mengemukakan nama pemimpin yang telah dipecat keahlian,” katanya dalam kenyataan lapor media di Johor pada Khamis.

Katanya, permohonan Amanah Johor wajar dipertimbangkan memandangkan prestasi cemerlang pemimpin-pemimpin parti berkenaan dalam kerajaan selama ini.

“Kepimpinan Amanah sentiasa komited mempertahankan kerajaan Perpaduan daripada serangan pihak lawan. Kami yakin dengan kemampuan pemimpin kami untuk terus memperkukuh pentadbiran negara,” katanya.

Zuhan turut menyifatkan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam memperjuangkan agenda rahmah serta prestasi Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai bukti kesungguhan Amanah.

Beliau turut menyebut prestasi membanggakan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad serta timbalan menteri seperti Adly Zahari dan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Dua anggota Kabinet sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan daripada pentadbiran kerajaan Perpaduan selepas masing-masing tewas dalam pemilihan pada bulan lalu.

Melibatkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan disandang dalam PKR.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat