GAMBANG: Yayasan Bank Rakyat (YBR) mewujudkan Bantuan Awal Pengajian (BAP) dalam usaha memberi bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar B40 Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi meneruskan pengajian.
Cakna kepada pelajar yang memerlukan, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, YBR sentiasa proaktif dalam memberikan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik terutamanya B40 untuk mendapat kualiti pendidikan sama seperti mereka yang lain.
“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan pelajar untuk meneruskan semester pengajian dan juga sebagai pemangkin untuk berusaha mendapat keputusan yang cemerlang di masa akan datang,” katanya yang hadir bagi menyerahkan Bantuan Awal Pengajian YBR dan perasmian ‘SIR Corner’ kepada pelajar dan perpustakaan UMP.
Replika cek Bantuan Awal Pengajian serta upacara gimik penyerahan telah disaksikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. Turut hadir dalam sesi tersebut adalah Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin; Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Kamariah Gono; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Jabatan Serambi Ilmu Rakyat YBR, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.

Bantuan ini melibatkan 100 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM1,000 setiap seorang dari kalangan keluarga B40 dan pemilihan mereka telah dikenalpasti oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP. Semua pelajar yang terlibat adalah dikalangan pelajar semester 1 hingga 3 di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda serta membantu meringankan beban kewangan mereka ketika kemasukan ke semester.
Dalam majlis yang sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau lebih dikenali dengan nama ‘SIR Corner’ telah menyumbangkan set kelengkapan ‘SIR Corner’ kepada perpustakaan UMP dengan objektif ianya dapat memberikan manfaat kepada seluruh pelajar UMP dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan-bahan bacaan ilmiah secara digital.
Syaiful berkata, diharapkan para pelajar dapat menggunakan perkhidmatan SIR Corner ini sebaik-baiknya serta menjadikan ia sebagai sumber alternatif rujukan penghasilan tesis atau tugasan melalui dunia tanpa sempadan. Bagi tahun 2022 sebanyak 20 IPT terkemuka di Malaysia dan 2 pusat komuniti telah terpilih menerima ‘SIR Corner’ dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000.
YBR juga telah memperuntukkan sebanyak RM350,000.00 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan-bahan digital SIR dari pihak pembekal. Usaha ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca buat pelajar-pelajar dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi.