PM Sampaikan Ucapan Hari Wesak, Umum Lawatan Rasmi ke Rusia dan Fokus LIMA 2025

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia, dengan harapan agar sambutan ini menjadi simbol kasih sayang, keamanan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ucapan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat media hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri menekankan pentingnya Hari Wesak sebagai detik untuk menolak ekstremisme serta menyemai cahaya kebaikan dalam membina masyarakat yang adil, sejahtera dan penuh harapan.

Dalam taklimat sama, Tunku Nashrul turut mengumumkan bahawa Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei atas undangan Presiden Vladimir Putin. Lawatan ini merangkumi dua destinasi utama Moscow dan Kazan di Republik Tatarstan.

“Di Moscow, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), bertemu ahli perniagaan Rusia dan berinteraksi dengan komuniti diaspora Malaysia di sana,” katanya.

Sementara itu, di Kazan, Perdana Menteri dijangka menyampaikan ucapan pada sesi plenari Kazan Forum, menghadiri mesyuarat Strategic Vision Group, dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Tatarstan.

Sekembalinya dari Rusia, Perdana Menteri akan menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), yang disifatkan sebagai platform strategik bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di rantau ini.

“LIMA bukan hanya pameran aset dan teknologi, tetapi medan penting bagi membina kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan, termasuk dalam bidang penyelenggaraan pesawat (MRO), IoT, satelit dan teknologi angkasa,” jelas Tunku Nashrul.

Perdana Menteri juga mengarahkan agar LIMA’25 memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar berupaya menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.

Tambahnya, penganjuran LIMA’25 turut dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi negara melalui pelaburan langsung asing (FDI), sektor pelancongan dan perdagangan antarabangsa.

Taklimat media ditutup dengan doa agar segala urusan negara, termasuk persiapan LIMA’25, berjalan lancar dan diberkati.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat