Ekonomi Malaysia Catat Pertumbuhan 5.6 Peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

Pertumbuhan berkenaan lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau seperti Indonesia (5%), China (4.5%) dan Vietnam (3.3%).

Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, prestasi pertumbuhan suku pertama 2023 menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0% hingga 5.0%.

“Pertumbuhan suku pertama 2023 juga lebih baik berbanding suku pertama 2022 sebanyak 4.8%. Dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9% pada suku pertama 2023 berbanding penguncupan 1.7% pada suku keempat 2022.

“Prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama 2023 disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi pertumbuhan berasaskan luas merentas semua sektor terutamanya sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 7.3% dan pembuatan sebanyak 3.2%,” kata kenyataan itu.

Jelas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh.

Kata Anwar yang juga Perdana Menteri lagi, pasaran buruh terus mencatat momentum pertumbuhan pada S1 2023, mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran 3.5% (suku ke-4 2022: 3.6%).

“Sementara itu, kadar inflasi pada suku pertama 2023 telah menyederhana kepada 3.6% (S4 2022: 3.9%), antaranya berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan.

“Kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mac 2023 terus mencatat trend penurunan kepada 3.4% (Feb 2023: 3.7%), iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti UK (10.1%), Filipina (7.6%), Singapura (5.5%), serta AS dan Indonesia (5%),” ujarnya.

Selain itu, selari dengan unjuran prospek pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka menyederhana pada 2023 berikutan permintaan luar yang lebih perlahan akibat daripada perdagangan global yang semakin lemah.

“Ketegangan geopolitik, tekanan harga yang tinggi dan keadaan kewangan yang lebih ketat juga akan terus menjejaskan prospek ekonomi dunia.

“Sementara itu, perkembangan dalam negara seperti iklim ekstrem yang mencetus fenomena gelombang haba dan musim El Nino yang diramal bermula pada Jun 2023, dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan pembinaan.

“Di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global ini, Kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan kami sebanyak 4.0% – 5.0% untuk 2023, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelaksanaan langkah Belanjawan 2023,” katanya.

Justeru kata Anwar lagi, kerajaan akan terus mengutamakan menangani cabaran ekonomi harian yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sambil menumpukan usaha untuk mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat