Bung dan Rahman rancang Umno kembali perintah Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Gabungan pemimpin tertinggi Umno Sabah yang baharu dilihat mampu membawa kemenangan kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selaku timbalannya adalah orang lama di dalam parti maka, kombinasi kedua-dua mereka akan menjadi pemangkin lebih baik untuk memastikan Umno terus kekal relevan.

Menurut Bung, perubahan yang berlaku di dalam kepimpinan Umno Sabah ini diyakini akan membolehkan parti ini kembali menjadi pemerintah di Sabah pada pilihan raya yang akan datang.

“Saya yakin barisan kepimpinan Umno 2023-2026 ini adalah barisan yang cukup mantap.

Pada mereka yang kalah dalam pemilihan parti, kita buang yang keruh ambil yang jernih kerana Umno Sabah harus bergerak ke hadapan untuk memastikan pada PRN akan datang, kita jadi pemerintah di bumi Sabah.

“Saya telah memberi penekanan bahawa ada dua jabatan yang ditransformasikan iaitu Jabatan Pilihan Raya dan Jabatan Penerangan dan Media Sosial yang perlu revolusi secara besar-besaran untuk memastikan Umno berada dalam platform yang tidak ketinggalan zaman.

“Pada saya, UMNO Sabah adalah parti yang sentiasa inginkan perubahan sebab kita tahu perjuangan ini tidak boleh melawan arus,” katanya selepas mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Sabah dan Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim di Bangunan Umno, di Kota Kinabalu.

Utusan melaporkan sementara itu, Abdul Rahman berkata, secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan atasan parti,

“Untuk Umno terus maju dan bergerak ke hadapan tiada masalah antara kami semua mencurahkan perkhidmatan kepada parti dengan harapan Umno Sabah akan menjadi teras kepada kerajaan negeri Sabah (akan datang),” katanya.

Mengenai rakan kerjasama, Bung Moktar berkata, Umno Sabah akan mengkaji secara teliti rakan kerjasama yang akan dipilih pada PRN akan datang.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Umno Sabah akan mengadakan mesyuarat biro politik bagi mengkaji rakan yang boleh membawa impak dan membantu Umno menang pada PRN Sabah yang akan datang.

Beliau berkata, mana-mana parti yang boleh membawa kemenangan kepada Umno akan diberi pertimbangan termasuklah Parti Warisan (Warisan) yang sebelum ini telah menyatakan hasrat ingin bekerjasama dengan Umno Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkongsi pandangan yang sama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno Sabah tidak akan menggangu kerajaan negeri sehingga PRN akan datang.

Jelas beliau, Umno Sabah akan menjadi ‘budak baik’ dalam bulan Ramadan ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat