KUALA LUMPUR -Pendapatan Sarawak direkodkan meningkat RM13.5 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pada sesi pembentangan Belanjawan Sarawak hujung tahun lalu, beliau mengumumkan unjuran pendapatan Sarawak sebanyak RM13.01 bilion.
Bagaimanapun, katanya, apabila mengambil kira jangkaan hasil 2025 selepas akaun ditutup pada penghujung Disember lalu, jumlah itu meningkat kepada RM13.5 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM500 juta.
“Keupayaan Sarawak mengutip hasil pendapatan yang tinggi bukan saja didorong oleh kekayaan sumber yang ada, tetapi juga kestabilan politik di negeri ini,” katanya lapor BH di Kuching pada Isnin.
Ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 pada November tahun lalu, Abang Johari, menjangkakan ekonomi Sarawak mengekalkan trajektori positif disokong oleh keadaan domestik memberangsangkan.
Beliau berkata, bagi 2026 pertumbuhan dijangka lima hingga enam peratus dipacu perkembangan stabil dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Katanya, anggaran hasil negeri bagi 2026 diperoleh daripada sumber utama iaitu hasil cukai berjumlah RM5.8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil yang dijangka.
“Ia khususnya daripada cukai jualan negeri (SST) sebanyak RM4.6 bilion termasuk minyak mentah gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum lain (RM3.5 bilion), minyak sawit mentah dan isi rong sawit (RM885 juta), loteri (RM75 juta), produk aluminium, (RM88 juta) fero aloi (RM32 juta), produk kayu (RM26 juta) dan polisilikon (RM13 juta),” katanya.
Abang Johari berkata, royalti air mentah juga turut menyumbang RM650 juta, royalti hutan dan premium kayu (RM226 juta) serta royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain (RM301 juta).
Katanya, hasil bukan cukai pula berjumlah RM6.3 bilion yang sebahagian besarnya diperoleh daripada bayaran pampasan tunai bagi menggantikan hak minyak dan gas (RM2.6 bilion), pendapatan dividen (RM2.3 bilion), pendapatan faedah (RM811 juta) dan premium tanah (RM350 juta).
Selain itu, pampasan tunai bagi menggantikan duti import dan eksais ke atas produk petroleum (RM120 juta) dan lain-lain termasuk lesen yuran perkhidmatan permit dan sewaan (RM150 juta).



