Tiada usul tak percaya Perdana Menteri setakat ini – Speaker

- Advertisement -

SHAH ALAM – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterimanya setakat ini.

Memetik laporan media tempatan, walaupun mesyuarat pertama penggal ketiga akan bermula bulan depan, pembangkang boleh mengemukakan usul untuk dimasukkan dalam senarai.

“Kita tidak terima apa-apa usul berkaitan dan sesiapa saja ahli Parlimen boleh kemukakan apa saja usul itu sekarang walaupun mesyuarat belum bermula.

“(Bagaimanapun) Terpulang kepada Speaker untuk menolak (usul) atau menerimanya, yang mana keputusan akan diumumkan semasa persidangan Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini dilaporkan berkata, tiada jaminan jelas bahawa usul undi tidak percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diterima Yang Dipertua Dewan Rakyat jika pembangkang menghantar usul berkenaan.

Jelasnya, ia dibuktikan apabila beberapa usul yang dibawa pembangkang sebelum ini ditolak ‘mentah-mentah’ oleh Johari.

Mengulas lanjut, Johari berkata, Speaker yang akan membuat keputusan sama ada usul itu diterima atau tidak berdasarkan prosedur dan peraturan yang ditetapkan Dewan Rakyat.

“Jika memenuhi peraturan mesyuarat, Insya-ALLAH saya akan pertimbangkan. Semua perlu faham bahawa saya terikat dengan peraturan mesyuarat, bukannya buat keputusan sembarangan.

“Kaji dan baca peraturan mesyuarat, fahami dulu” jelasnya.

Ujar beliau, tiada sekatan untuk mana-mana ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul walaupun sudah ada usul yang sama dikemukakan sebelum ini.

Proses mengemukakan usul juga katanya, sangat mudah namun ia harus mengikut peraturan mesyuarat yang sudah ditetapkan.

Peraturan Mesyuarat 18 (2) pula menetapkan seseorang ahli hendaklah mengeluarkan pemberitahu bersurat yang tidak melebihi 300 perkataan kepada Tuan Yang Dipertua mengenai perkara yang hendak dirundingkannya dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam – tidak termasuk hari kelepasan sebelum persidangan dimulakan.

Peraturan itu juga menyatakan seseorang Ahli Parlimen hendaklah mengemukakan bersama-sama pemberitahu itu usul yang dicadangkannya itu bersekali dengan penjelasan bertulis kepada Tuan Yang Dipertua mengapa perkara itu adalah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan dengan kepentingan orang ramai.

Yang Dipertua boleh menolak sesuatu usul itu jika beliau mendapati perkara itu bukan perkara tertentu, tidak berkehendak disegerakan dan tidak berkenaan kepentingan orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata, pembangkang dilihat tidak mempunyai kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen.

Jelas beliau, dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan sudah tumbang yang dimainkan pembangkang juga hanyalah satu propaganda untuk menipu penyokong mereka sendiri agar terus kekal bersemangat.

Kerajaan katanya, pernah mencabar pembangkang untuk membawa usul tersebut namun sudah lebih setahun, masih juga tidak dibangkitkan mereka. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat