Oleh Zihan Zari
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Politeknik Jeli Kelantan (PJK), Politeknik Bagan Datuk (PBD) dan Kolej Komuniti Gerik (KKGP) sekali lagi dipilih oleh Singapore Polytechnic (SP) sebagai tuan rumah bagi menjalin kerjasama strategik membabitkan program Learning Express (LeX) 2024.
Unit Komunikasi dan Hubungan PUO dalam kenyataannya memaklumkan, LeX bermula dari 30 September sehingga 11 Oktober 2024 disertai oleh 30 pelajar dari SP termasuk tiga tenaga pengajarnya, M Thiyagarajan, Mohd Farid Johari dan Goh Si Ying. Turut serta 30 peserta dari PUO, PJK, PBD dan KKGP.
Menurut kenyataan itu, LeX terbahagi kepada beberapa skop iaitu projek ternakan ikan melalui teknologi BioFloc yang diusahakan oleh peserta Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kg. Jeli bersama perkongsian kepakaran PJK.
Skop kedua merupakan projek ternakan rusa di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) yang dikawalselia oleh Pejabat Daerah & Tanah Lenggong.
Manakala skop ketiga pula, melibatkan projek penanaman serai dan industri kecil dan sederhana (IKS) pengeluaran tempe setiap satunya diusahakan oleh pengusaha individu iaitu penduduk Batu 8, Kg. Bendang Siam, Changkat Jering, Perak.
Menurutnya lagi, objektif program ini adalah bagi memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengaplikasi konsep ‘Design Thinking’ di lapangan dunia sebenar.
“Peserta mengaplikasikan konsep reka bentuk pemikiran, melalui pendekatan empati terhadap masalah sebenar yang sedang dihadapi oleh subjek sasaran untuk menghasilkan solusi yang efektif.
“Komunikasi dan kerjasama merentasi budaya, khususnya yang terjalin di antara peserta dari Singapura dan Malaysia, menjadi elemen penting dalam program ini.
“Ianya memupuk pertukaran idea dan mengetahui serta memahami budaya yang berbeza dalam kalangan peserta,”katanya.
“Pengalaman bergaul dengan komuniti setempat juga memberi peserta peluang mempelajari budaya dan rutin kehidupan seharian masyarakat setempat, memperkukuhkan empati dan tanggungjawab sosial.
“Di samping itu, kemahiran insaniah lain seperti kerja berpasukan, komunikasi berkesan, dan penyesuaian diri diasah dalam kepelbagaian suasana.
“Peserta juga didorong untuk mencipta impak positif melalui penyelesaian inovatif dan efektif kepada masalah yang dihadapi oleh komuniti,”katanya lagi.
“LeX bukan sahaja mengembangkan potensi akademik dan profesional malah membina kesedaran peserta terhadap kemampuan mereka dalam memperkenalkan perubahan yang bermakna.
“Secara keseluruhan, para peserta menzahirkan keterujaan dan penghargaan kepada PUP selaku rakan kolaboratif SP salah satu daripada institusi pendidikan bertauliah CDIO (Conceive-DesignImplement-Operate,”tambahnya.
“SP telah sudi menerima dan menyusun pelaksanaan program ini di Malaysia sebagai satu usaha melestarikan proses pertukaran ilmu serta mencetuskan hubungan kerjasama baharu dalam memperkasakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),”tambahnya lagi.
Sementalah itu, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohd Noor Shahudin telah merasmikan penutup LeX 2024 di KKGP, pada Selasa. – SUARA.TV