Lahir di Malaysia bukan syarat automatik dapat kewarganegaraan – Dr Shamsul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kelahiran di negara ini bukan syarat automatik untuk seseorang individu itu memperoleh kewarganegaraan Malaysia.

Sebaliknya, kelayakan untuk mendapat kewarganegaraan ditentukan berdasarkan status perkahwinan dan taraf warganegara ibu bapa kandung sewaktu kelahiran itu berlaku.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai respons kepada ucapan Vivian Wong Shir Yee (DAP-Sandakan) yang membangkitkan isu berkenaan antaranya berkaitan jumlah permohonan kewarganegaraan yang diproses dan ditolak di Sabah serta tempoh masa untuk pemprosesan permohonan di kamar khas Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar memaklumkan 11,065 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan diterima daripada Sabah bagi tempoh antara 2017 hingga 2022, dengan 481 daripadanya diluluskan.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), daripada jumlah itu 3,917 permohonan ditolak, manakala 6,667 pula sedang diproses.

“Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara adalah anugerah tertinggi dan hak eksekutif kerajaan Persekutuan dan kita tidak tawarkan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak.

“Malah dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan, beban untuk membuktikan kelayakan untuk dianugerah kewarganegaraan adalah di bawah tanggungjawab setiap pemohon,” katanya.

Beliau berkata, walaupun keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan pertalian darah seseorang individu dengan ahli keluarga lain khususnya dengan ibu, bapa atau adik-beradik, ia hanya sebagai dokumen sokongan dan tidak boleh dijadikan bukti konklusif dalam pemberian kewarganegaraan.

Ini kerana, katanya proses pertimbangan tertakluk kepada syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.

“Permohonan kewarganegaraan dikemukakan secara berasingan dengan kandungan maklumat dan dokumen sokongan berbeza-beza, maka hasil penilaian dan pertimbangan permohonan juga berbeza ikut keperluan, bukti dan fakta kes berdasarkan maklumat diberikan,” katanya.

Beliau berkata, fakta dan dokumen bukti dikemukakan pemohon akan diteliti mengikut giliran sewajarnya, sebelum keputusan dikeluarkan.

Sehubungan itu, katanya, tiada tempoh masa ditetapkan bagi pengeluaran keputusan dan alasan penolakan berbeza-beza mengikut keperluan kes.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan secara umum alasan penolakan adalah seperti disebabkan perkahwinan tidak didaftar, keberadaan subjek tidak jelas kerana gagal membuktikan subjek berada dalam negara, pemohon tiada locus standi untuk membuat permohonan dan maklumat diberikan pemohon meragukan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat