PAS Minta Ahli Undi Parti Pemenang Asal Kerusi Jika PRN Melaka Diadakan

- Advertisement -

PETALING JAYA – Demi menjaga hubungan antara Pas dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti itu mengambil pendekatan meminta ahlinya mengundi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu diambil Pas demi mencari keharmonian dalam kerjasama politik dengan UMNO dan Bersatu.

“Jentera parti, petugas Pas dan pengundi kita akan minta dia kekal undi kepada parti yang memenangi kerusi tersebut. Dengan cara ini kita akan harmonikan situasi itu, manakala kerusi-kerusi lompat dan kerusi yang belum kita menangi sepatutnya itu jadi fokus.

“Bukan kepada kerusi yang kita menang, sepatutnya gerak kerja pergi kepada kerusi yang belum dimenangi,” katanya pada sidang media majlis pemeteraian kolaborasi bagi mengambil alih sistem perbentungan awam di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pihaknya masih belum menetapkan kedudukan sebenar jika parti itu berdepan dengan pilihan di antara UMNO dan Bersatu jika PRN Melaka diadakan.

Malah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sedia menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN Melaka.

Tuan Ibrahim berkata, Pas masih mendokong usaha untuk memperkukuhkan penyatuan ummah antara UMNO dan Bersatu.

Beliau berkata, ia merupakan jalan keluar bagi memastikan usaha Pas menjadi orang tengah dalam penyatuan antara UMNO dan Bersatu dapat diperkukuhkan.

“Parti kita masih lagi mendokong hasrat untuk memperkukuhkan muafakat penyatuan ummah di mana Pas dengan UMNO dan Bersatu yang mendokong kerajaan pusat itu dapat kita kekalkan.

“Itu pendirian parti, dan usaha-usaha untuk mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak sentiasa kita adakan.

“Bahkan apa yang berlaku di Melaka baru-baru ini, kita ada kekuatan yang saling perlu dan memerlukan. Kita hendak supaya aspek ini perlu dilihat dan untuk itu parti melihat jalan keluar kepada muafakat politik ini adalah pertama kita perlu ada polisi berhubung dengan kerusi yang telah dimemangi oleh setiap parti kekal kepada parti berkenaan,” jelas Menteri Alam Sekitar dan Air itu.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara mengejut pada 4 Oktober lalu selepas Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali kehilangan sokongan majoriti untuk meneruskan pentadbiran.

Ia berlaku apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri yang sebelum ini berada dalam kerajaan menarik sokongan daripada Sulaiman. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat