Polis lancar Satelit X-Band pertingkat keberkesanan operasi lapangan – KPN

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melakar sejarah baharu dengan melancarkan aset teknologi komunikasi Satelit X-Band yang akan menjadi pengganda kuasa dalam meningkatkan keberkesanan operasi di lapangan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata Projek Pembangunan Satelit X-Band itu dimulakan sejak 1 Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 31 Disember tahun lalu.

“Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman melakar sejarah yang tersendiri apabila berjaya merealisasikan Projek Pembangunan Komunikasi Satelit X-Band yang dimulakan sejak 1 Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 31 Disember 2024.

“Inisiatif taktikal ini bagi mengekalkan fungsi komunikasi dalam situasi bencana, kawasan pedalaman, sempadan atau ketika rangkaian awam tergendala,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara September 2025 anjuran JLog di Dataran Kompleks 3 Bukit Aman, lapor BH pada Khamis.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah JLog Bukit Aman, Komisioner Polis Gilbert Philip Layang.

Beliau berkata, satelit yang dipasang dalam sebuah bas khas itu dilengkapi dengan sistem kawalan, capaian data serta komunikasi masa nyata sekali gus membolehkan penyelarasan operasi lebih cekap dan efisien.

“Satelit X-Band yang dipasang dalam sebuah bas khas dilengkapi dengan sistem kawalan, capaian data serta komunikasi masa nyata (real time).

“Ia sekali gus membolehkan penyelarasan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien sebagai ‘force multiplier’ kepada PDRM bagi meningkatkan keberkesanan tugas di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa warga PDRM bagi meneguhkan semangat menjelang sambutan Hari Malaysia dengan berpandukan lima prinsip Rukun Negara.

“Di kesempatan ini, sempena Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi, saya menyeru seluruh warga Sang Saka Biru untuk meningkatkan taat setia kepada negara dan pasukan.

“Penghayatan kepada lima prinsip Rukun Negara hendaklah dijadikan pegangan ke arah mengekalkan keamanan dan keharmonian negara, berteraskan citra Malaysia yang unik,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 20 pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam yang menunjukkan mutu perkhidmatan cemerlang.

“Syabas dan tahniah juga saya zahirkan kepada 20 orang penerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam yang mempamerkan mutu perkhidmatan cemerlang dan berkualiti.

“Semoga pemberian surat penghargaan ini dapat meningkatkan motivasi seluruh warga pasukan untuk lebih kompeten dan berdaya saing seiring hasrat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan penjawat awam,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat