KUALA LUMPUR – Prosiding lawatan koroner yang mendengar inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Asrama Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar selesai sebentar tadi.
Koroner Amir Shah Amir Hassan dilihat keluar dari sekolah berkenaan kira-kira pukul 11.48 pagi tadi bersama peguam-peguam yang terlibat dalam prosiding itu.
Difahamkan, sesi simulasi tersebut turut disertai pasukan bomba dan pasukan forensik polis.
Peguam mewakili salah seorang remaja yang didakwa membuli Zara Qairina, Datuk Ram Singh memberitahu, dua patung digunakan pada sesi simulasi itu.
Katanya, mereka yang hadir turut melihat mesin basuh yang terdapat di bahagian bawah asrama berkenaan.
“Mesin basuh ada dua, muatan 7.8 kilogram tapi tak perasan telefon bimbit,” katanya lapor Utusan di Kota Kinabalu pada Khamis.
Menceritakan mengenai simulasi itu, Ram memberitahu asrama berkenaan dalam keadaan kosong dan mereka membuat demonstrasi menggunakan patung.
“Bebanan (bekas berisi air) turut diletakkan pada badan patung (bagi menyamai berat badan Zara Qairina). Ukuran juga diambil dan soalan lanjut akan ditanyakan.
“Locus in quo (lawatan tempat kejadian) akan menjelaskan bagaimana insiden tersebut boleh berlaku dan impak ketika mendarat, sama ada ia konsisten dengan gambar I7,” katanya.
Gambar I7 merupakan gambar posisi terakhir Zara Qairina ketika ditemui terlentang di bahagian bawah asrama yang diambil oleh pengawal keselamatan, Linah Mansoding@Jahali pada pukul 3 pagi, 16 Julai 2025.
Prosiding bersambung pukul 3 petang ini di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.



