KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Malaysia dan Turkmenistan mengiktiraf peranan dan sumbangan penting Petronas mentransformasikan ekonomi Turkmenistan terutamanya dalam sektor minyak dan gas Turkmenistan, sejak syarikat itu memulakan operasi pada tahun 1996.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah bertemu dengan rakan sejawat beliau, Rashid Meredov yang juga merupakan Timbalan Presiden Turkmenistan di Kementerian Luar Negeri Turkmenistan pada 9 September 2024.
“Kedua-dua Menteri juga mengiktiraf peranan dan sumbangan penting Petronas mentransformasikan ekonomi Turkmenistan terutamanya dalam sektor minyak dan gas Turkmenistan, sejak syarikat itu memulakan operasi pada tahun 1996.
“Kedua-dua Menteri Luar Negeri telah menegaskan komitmen mereka untuk mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara dalam pelbagai kerjasama termasuklah perdagangan dan pelaburan, kerjasama halal, pendidikan, pelancongan dan pembinaan kapasiti,” kata kenyataan itu.
Untuk rekod sebelum ini, Kerajaan Turkmenistan berhasrat melanjutkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) selama 10 tahun lagi kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk beroperasi di negara itu sehingga 2038.
Pada 1996, Petronas diberikan PSC selama 32 tahun yang berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.
Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas di dunia yang mempunyai simpanan gas asli bawah tanah, selepas Russia, Iran dan Qatar.
Simpanan gas asli yang ada sekarang ialah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara itu yang masih belum diteroka.
Perkembangan lain, mereka juga telah berbincang mengenai isu-isu serantau dan global yang berkepentingan bersama seperti situasi di Gaza, konflik Ukraine-Russia dan perkembangan di Afghanistan.
Turkmenistan, dan negara-negara Asia Tengah yang lain juga menzahirkan minat yang tinggi untuk bekerjasama dengan ASEAN.