Oleh Zihan Zari
LANGKAWI -Balai Seni Negara Langkawi bersama rakan kolaborasi A.P Art Gallery, Akaldiulu, Japan Foundation dan Uku Private Gallery serta disokong oleh MyCreative Ventures sedang mengadakan Pameran ‘Light of Langsuir’ karya Kazutaka Shioi yang berlangsung sehingga 13 September ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara memaklumkan, pameran ini merupakan salah satu pengisian di bawah program ‘Barehands Residency’ telah dirasmikan oleh Pengarah Japan Foundation, Tsukamoto Norihisa di sini, pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, program residensi berkenaan telah dijalankan pada 15 Ogos sehingga 4 September lalu di Akaldiulu, lokasi artis residensi Kazutaka Shioi menghasilkan karya-karyanya.
Pameran ini menampilkan karya yang menggabungkan alam semula jadi dan spiritualiti dengan menggunakan daun Langsuir (Asplenium Nidus) yang banyak ditemui di residensinya, Akaldiulu.
Menurutnya, Shioi menyatukan elemen tradisional dengan inovasi kontemporari, menghasilkan pengalaman seni yang mendalam dan menyeluruh.
Pelbagai aktiviti dan jelajah juga diatur bagi mendedahkan Shioi kepada seni, tempat, sejarah, dan budaya di Langkawi.
“Turut diadakan sesi bual bicara bertajuk ‘Art In Residence: Cultivating Creativity Beyond Studio Walls’ dibarisi oleh artis cetakan terkemuka Malaysia, Juhari Said, dan Kazutaka Shioi bersama pengantara, Nazura Rahime.
“Ianya menjadi satu platform bagi menterjemah serta berkongsi pengalaman sepanjang Kazutaka Shioi menjadi artis residensi.
“Kazutaka Shioi juga sempat berkongsi tentang teknik penghasilan karyanya kepada komuniti setempat menerusi ‘Sha-Ko-Seki Art Workshop’ yang disertai oleh 20 peserta, di Studio Seni, di sini.
“Program residensi di Akaldiulu telah bermula sejak 2010 dan telah berkolaborasi dengan seniman dari luar negara seperti Jordan, Jepun, Indonesia, Filipina, dan Taiwan, ”katanya.
“Program Barehands Residency diasaskan oleh Juhari Said pada 2010 telah diteruskan secara konsisten pada 2014 sehingga 2017, dan 2023 dengan penglibatan secara meluas oleh artis antarabangsa.
“Program ini dilihat menjadi wadah kerjasama dalam pertukaran budaya, ilmu, serta pengalaman semasa residensi berlangsung,”katanya lagi.
Dalam pada itu, video dokumentasi yang memaparkan perjalanan sepanjang berlangsungnya program residensi ini bakal ditayangkan di Fukuoka, Jepun dalam sebuah pameran di sana kelak.
“Ia secara tidak langsung mampu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat antarabangsa mengenai pengembangan seni di Malaysia.
“Ianya sekaligus mempromosi keunikan budaya serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan seni yang wajib dikunjungi.
“Orang ramai dijemput hadir untuk melawat pameran ‘Light of Langsuir’ di sini dan untuk maklumat lanjut mengenai pameran dan bengkel seni akan datang, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara Langkawi, ” kata kenyataan itu lagi. -SUARA.TV