KUALA LUMPUR – Kerajaan serius menangani dan membasmi budaya Ali Baba kerana mengakibatkan kerugian mencecah sekitar 1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kerugian daripada aktiviti Ali Baba ini melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara dengan penglibatan kementerian dan agensi kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri.
“Mesyuarat MTEN pada 10 Julai 2023 membincangkan dua perkara utama yakni merangka perundangan berhubung budaya Ali Baba (rent-seeking) , dan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).
“Mesyuarat bersetuju secara prinsip bahawa budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan Kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.
“Anggaran kerugian mencecah sekitar 1 peratus daripada KDNK dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan juga mengumumkan, kerajaan mempercepat inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau
dalam tenaga boleh baharu.
“Projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.
“Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative),” kata beliau lagi.
Anwar memaklumkan, peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai 2023 dan disusuli oleh peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos 2023.
“Melangkah ke hadapan, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara, bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.
“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya,” jelas Perdana Menteri.