Shah Alam, 11 Jun 2025 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus memacu perubahan dalam landskap sukan negara dengan melancarkan program berimpak tinggi bertajuk “GAME ON: Introducing Frisbee & Flag Football to a New Generation”. Program ini bertujuan memperkenalkan dua sukan alternatif yang semakin popular di peringkat antarabangsa – Flag Football dan Frisbee – kepada pelajar sekolah menengah di Kuala Terengganu.
Majlis pelancaran rasmi program ini telah berlangsung pada hari ini bertempat di Dewan Kuliah C, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam, dan disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Nurul Ain Muhammad binti Rafiai, yang mewakili Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam.
Program ini dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 19 Jun 2025, membabitkan 146 orang pelajar daripada dua buah sekolah menengah di Kuala Terengganu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman (SMKSB).
Anjuran ini adalah hasil usaha pelajar semester 6 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (SR2416NA, SR2416NB, SR2416NC) dengan kerjasama kelab Rentap (Flag Football) dan komuniti All Ultimate Roar (Frisbee). Dua kumpulan pelajar FSR terlibat dalam dua aktiviti berasingan yang dilaksanakan serentak di kedua-dua sekolah sepanjang tempoh program.
Sukan Flag Football, iaitu versi tanpa sentuhan kasar daripada American Football, serta Frisbee atau Ultimate Frisbee yang menggabungkan ketangkasan fizikal dan kecerdasan taktikal, diperkenalkan melalui klinik sukan, sesi interaktif dan pertandingan mini.
Flag Football menjadi pilihan kerana kesesuaian dari aspek kos dan logistik – peralatannya mudah diperoleh dan padang sekolah boleh digunakan tanpa pengubahsuaian besar. Menurut En Eqmal Emir b. Azuddin, Pengarah Program United Under One Flag “Flag football adalah non-contact sport. Pemain akan memakai tali pinggang dengan dua bendera (flag) di kiri dan kanan, dan permainan dihentikan apabila bendera ditarik – menjadikannya selamat dan sesuai untuk peringkat sekolah.”
Sementara itu, Program Frisbee Throwlogy Frisbee merupakan sukan yang unik kerana menggabungkan elemen-elemen dari bola jaring, bola keranjang dan ragbi, menjadikannya satu permainan yang bersifat taktikal dan pantas. Sebagai sukan tanpa sentuhan (non-contact), Frisbee menawarkan tahap keselamatan yang tinggi dan sesuai dimainkan dalam pelbagai persekitaran. Ciri-ciri ini telah mendorong kepada pertumbuhan pesatnya dalam kalangan pemain baharu, dengan semakin ramai individu dan institusi mula memberi perhatian kepada potensi sukan ini untuk dibangunkan di peringkat komuniti dan sekolah. kata En Muhammad Aizuddin b. Manah, Pengarah Program Frisbee Throwlogy D’Ganu.
Program ini membuka peluang kepada pelajar sekolah untuk mencuba sukan baharu yang jarang diperkenalkan dalam sistem pendidikan arus perdana. Lebih penting lagi, kedua-dua sukan ini mendidik nilai-nilai murni seperti kerjasama berpasukan, disiplin, kepimpinan, semangat kesukanan dan integriti, seiring dengan usaha menyemai gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan generasi muda.
Bagi aktiviti Flag Football, pelajar Tingkatan 4 dari SMK Sultan Sulaiman menjadi kumpulan sasaran utama. Manakala bagi Frisbee, sasaran adalah pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 di SMK Seri Budiman, dengan harapan mereka dapat mengembangkan sukan ini di sekolah masing-masing secara berterusan.
Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berusaha Puan Nurul Ain Muhammad binti Rafiai menyatakan bahawa program ini sangat signifikan dan seiring dengan misi fakulti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Kami berbangga dapat membawa dua sukan ini ke pentas pendidikan menengah. Ini adalah langkah strategik untuk memperluas horizon sukan negara dan mencungkil potensi baharu dalam kalangan pelajar sekolah,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang fakulti untuk memupuk komuniti sukan yang progresif, inklusif dan berdaya saing, terutamanya di peringkat akar umbi.
Inisiatif ini juga berfungsi sebagai platform khidmat masyarakat yang menghubungkan mahasiswa dengan komuniti. Pelajar UiTM bukan sahaja bertindak sebagai fasilitator, tetapi juga sebagai duta sukan dan agen perubahan sosial.
“Ini bukan sekadar pengenalan sukan, tetapi satu misi untuk membina jalinan erat antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat luar,” kata salah seorang fasilitator pelajar. “Ia juga membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk menimba pengalaman baharu dan melihat sukan dari sudut pembangunan diri.”
Tambahan pula, walaupun komuniti Frisbee masih belum wujud secara rasmi di Terengganu, kumpulan ini hadir sebagai perintis dalam memperkenalkan sukan ini kepada masyarakat setempat. Sementara Flag Football telah pun mempunyai platform yang lebih mantap melalui organisasi seperti MyFlag Malaysia yang sedang giat menjalankan jelajah ke seluruh negara bersama Jabatan Belia dan Sukan negeri-negeri.
Menurut rekod sejarah, Flag Football mula diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 2014 oleh pelajar Malaysia yang pernah menuntut di Amerika Syarikat. Kini, sukan ini telah berkembang dengan lebih 10 pasukan aktif hanya di Lembah Klang. Malah, Flag Football telah disenaraikan sebagai salah satu sukan dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028, dan terdapat usaha untuk memasukkan sukan ini ke dalam temasya Sukan SEA 2027 yang dijangka dianjurkan di Malaysia.
Program ini diharapkan dapat menjadi permulaan kepada perkembangan pesat sukan alternatif di peringkat sekolah dan komuniti. Dengan sokongan berterusan dari pihak universiti, rakan kerjasama profesional dan komuniti tempatan, impian untuk melahirkan generasi muda yang aktif, sihat dan berintegriti mampu direalisasikan.
“Dengan semangat kesukanan dan keikhlasan dalam menyumbang kepada masyarakat, kita percaya perubahan besar bermula dengan langkah-langkah kecil,” kata pihak penganjur.
“Terengganu Takeoff: United Under One Flag & Frisbee Throwlogy D’ganu” bukan sekadar sebuah program sukan – ia adalah simbol harapan dan permulaan kepada gerakan sukan rakyat yang lebih menyeluruh.