KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kerajaaan bahawa pemberhentian secara beramai-ramai pekerja kontrak Petronas tanpa diberikan peluang latihan tertentu bagi mendapatkan pendapatan untuk meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
Tegas Presiden Bersatu itu, adalah wajar pemberhentian mereka dibuat secara berperingkat selepas mereka dilatih dan kehidupan mereka agak terjamin.
Katanya, ini termasuk latihan keusahawan dan bantuan modal untuk mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan-usahawan Bumiputera seharusnya digunakan untuk menolong mereka berdiri di atas kaki sendiri. Kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu ini
“Bukan cuma itu, kerajaan juga diingatkan supaya lebih berhemah dalam menggunakan dana daripada Petronas dalam keadaan hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih lemah sehingga menjejaskan aliran tunai Petronas sendiri,” saran bekas Perdana Menteri itu lagi.
Mengulas hal itu, Muhyiddin berkata rancangan pemberhentian 5,000 pekerja Petronas atau 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat minyak dan gas milik negara ini adalah suatu perkembangan yang mengejutkan.
“Walaupun pekerja ini adalah pekerja kontrak, mereka sudah lama berkhidmat dengan Petronas. Mereka mempunyai keluarga yang perlu disara.
“Tidak dinafikan Petronas sedang berhadapan dengan cabaran yang besar. Pada tahun lalu, Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM55.1 bilion, iaitu penurunan sebanyak 32 peratus berbanding RM80. 7 bilion pada tahun sebelumnya.
“Dalam keadaan cabaran global dihadapi oleh Petronas yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, Petronas memerlukan pelan jangka panjang untuk memastikan syarikat milik negara ini terus lestari dan berdaya saing,” ujar beliau lagi.
Selain itu Muhyiddin juga menyebut, pertikaian antara Petronas dan Petros berhubunghak pengedaran gas di Sarawak yang belum selesai bukan sahaja menjejaskan pendapatan Petronas, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gasdi negara ini.
Katanya lagi, menurut laporan akhbar The Edge pada 2 Jun 2025, beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini telah mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025. Antara sebab utamanya ialah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaiannya dengan Petros.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya yang berhadapan keadaan yang tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas. Pada masa ini terdapat 70,000 pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia.
“Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan Petronas dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan.
“Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk membentangkan pelan kelesatarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera,” gesa Muhyiddin.