KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor akan menganjurkan ‘Himpunan Daulat Tuanku” di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada Sabtu ini.
Ketua Pemuda Pas Selangor Sukri Omar berkata, himpunan itu dianjurkan susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan institusi diraja di negeri itu.
“Himpunan ini bertujuan menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat kepada titah Sultan Selangor serta menegaskan kepentingan mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja di Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, himpunan dijadual berlangsung pada 5 petang dengan peserta diminta memakai pakaian berwarna kuning.
“Satu memorandum taat setia rakyat akan diserahkan ke Istana Kayangan pada hari itu,” katanya.
Sukri berkata pihak sekretariat akan membuat pemakluman rasmi kepada polis Selangor berhubung penganjuran himpunan itu mengikut lunas undang-undang.



