Jika Pas dituduh ada DNA khianat tapi Umno dikepung DNAA supaya terus bersama DAP – Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak kerjasama Islam bersama Pas kerana ada DNA khianat dalam Pas tanpa bukti yang benar, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pas itu membidas, Umno pula ada kaitan dengan DNAA yang nyata mengepung Umno dalam UMDAP (Umno yang bekerjasama dengan DAP), namun tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan umat.

“Asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikatakan kepada Pas ialah molekul pembawa maklumat genetik dalam hampir semua organisma hidup, berfungsi sebagai ‘buku resipi’ yang mengandungi arahan untuk pertumbuhan, perkembangan, dan fungsi sel. DNA berbentuk heliks ganda dua (double helix) dan menyimpan kod genetik menggunakan empat bes kimia, iaitu adenina, sitosina, guanina, dan timina.

“DNAA pula bermaksud “dilepaskan tanpa dibebaskan” (discharge not amounting to an acquittal) dalam konteks undang-undang Malaysia.

“DNAA ialah keputusan mahkamah bilamana seseorang tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan buat sementara waktu, namun pihak pendakwaan masih boleh menuduh semula individu tersebut atas tuduhan yang sama pada masa hadapan. Inilah masalah yang diketahui umum ada pada pemimpin Umno,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Isnin.

Menurut Hadi, Pas berpegang pada konsep Islam bahawa orang yang dituduh adalah tidak bersalah selagi tidak dibuktikan dengan adil. Maka, tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan Melayu dan Islam.

“Konsep Muafakat Nasional (MN) sebenarnya telah diadakan lebih awal sebelum kelahiran Presiden Umno sekarang, iaitu sejak zaman melawan penjajahan dan selepas kemerdekaan pada masa Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, dan Tun Abdul Razak. Pas bersama menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menentang komunis.

“Tiba-tiba, Umno yang berkuasa menggunakannya bagi menentang pengaruh Pas sehingga beberapa orang pemimpin Pas ditahan bawah ISA. Rupa-rupanya DNA khianat ini ada pada Umno, bukan pada Pas.

“Peristiwa itu tetap diingati oleh Melayu yang tidak lupa. Pas berpegang pada Islam supaya tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam semua perjanjian. Pas berjanji dengan hukum Islam dan membatalkan janji dengan hukum Islam juga.

“Menjadi lumrah semua pihak yang berbeza pendapat boleh berkelahi dan berperang sambil mengaku pihak masing-masing yang lebih betul, benar, dan baik. Adapun lawannya adalah salah, buruk, dan jahat. Hal ini termasuk pendapat Iblis dan pengikutnya yang paling jahat hingga Hari Kiamat.

“Hal ini termasuklah perselisihan antara Pas dengan Umno (dua parti yang mengaku Islam). Pas pernah mencadangkan kepada Umno dahulu sebelum daripada pemimpin Umno yang ada sekarang yang cakapnya berdegar-degar menegakkan kebenaran dan membohongi pihak yang lain, walaupun sudah tersungkur dalam satu lubuk bersama DAP dan sekutunya, menuduh pula pihak yang lain menipu, khususnya terhadap Pas,” kata Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu mengingatkan, Umno jangan jadi penakut berada dalam Kerajaan PH yang melaksanakan undang-undang berkaitan kaum, agama, dan institusi diraja (3R) yang nyata meminggirkan Islam. Menjadikan UMDAP laksana tikus kenyang dalam kepuk padi.

Ujar Hadi lagi, berlaku kelalaian dalam Umno setelah lama berkuasa, sehingga leka dan jatuh kerana tidak sedar bersama para pemimpin generasi baharu yang dicipta dalam kelekaan dan kelalaian.

“Mereka tidak diuji untuk menghadapi cabaran perjuangan sehingga terpalit dengan kesalahan yang besar, menjadikan mereka penakut dan mahu terus berada dalam kerajaan yang berpenyakit bagi menyelamatkan diri masing-masing, sehingga perjuangan agama, bangsa, dan negara tidak lagi menjadi keutamaan.

“Kita pernah bersama dalam kerajaan campuran dengan Bersatu dan Umno. Kalangan UMDAP beberapa kali mencuba untuk memecat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berebut jawatan dan akhirnya mengkhianati Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri daripada Umno sendiri dengan menarik diri dan memaksa diadakan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) di Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk Umno merampas kuasa kerana mahu menyelamatkan diri dengan jawatan PM. Tiba-tiba, Umno gagal, lalu melutut dengan hina di hadapan DAP dan bersekongkol menjadi UMDAP.

“Umno kini mewarisi para pemimpin yang hina dan penakut, walaupun mendabik dada dengan arahan tuan mereka yang menjadi dalang di belakang mereka. Keadaan ini seperti ilmuwan yang disifatkan oleh Allah SWT mengejar kesenangan, tetapi menolak kebenaran laksana anjing kelaparan.

“Kalangan beragama yang hidup mencari makan diarahkan oleh syaitan yang menjadi dalang di belakang mereka untuk memberikan makanan dan menjaga anjing yang diletakkan di dalam sangkar yang cantik dan mewah, disuruh menyalak sesiapa sahaja di tempat yang selesa sambil mendapat makanan lazat yang lumayan.

“Tidak sedar dirinya dihina apabila meninggalkan agama dan umat sebagai dasar perjuangan.

“UMDAP dikongkong oleh sistem diktator PH melalui konsep 3R yang menyekat suara rakyat sehingga menyanggah prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung demokrasi, termasuk pada masa gerakan reformasi yang berslogankan “suara rakyat suara keramat” bagi menghayati slogan demokrasi purba “suara rakyat suara tuhan” yang berprinsip syirik (dosa besar dalam Islam).

“Tidakkah undang-undang 3R menutup pintu nasihat yang melawan Islam, perlembagaan negara, dan konsep demokrasi?

“Apabila Umno dipimpin oleh kalangan yang tidak beristiqamah, menjadikan ahli dan pengikutnya laksana anak ayam kehilangan ibu yang terpaksa menyorok di mana-mana sahaja bagi menyelamatkan diri daripada helang dan sewah yang berkeliaran dan berebut untuk menyambarnya,” kata Hadi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat