Malaysia Kekal Bebas Penyakit Anthrax – DVS Perketat Kawalan Import Ternakan

- Advertisement -

PUTRAJAYA, – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) menegaskan bahawa Malaysia kekal bebas daripada penyakit anthrax sejak kes terakhir yang dilaporkan pada tahun 1976, meskipun negara jiran Thailand kini berdepan wabak yang menyebabkan satu kematian manusia.

Dalam satu kenyataan hari ini, DVS memaklumkan bahawa kes terbaru yang berlaku di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, timur laut Thailand, dipercayai berpunca daripada penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah. Kawasan tersebut bersempadan dengan Republik Demokratik Rakyat Lao.

“Penyakit anthrax adalah zoonotik, iaitu boleh merebak daripada haiwan kepada manusia dan berpotensi membawa maut. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis yang menghasilkan spora berbahaya kepada ternakan dan manusia,” jelas kenyataan itu.

Antara tanda klinikal anthrax pada ternakan termasuk kematian mengejut, demam tinggi, bengkak di kawasan jangkitan, muntah, cirit-birit serta pendarahan dari hidung, mulut dan dubur.

DVS turut menekankan bahawa pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga susulan insiden di Thailand, termasuk memohon jaminan daripada negara itu bahawa tiada haiwan atau produk haiwan dari kawasan berisiko tinggi anthrax dieksport ke Malaysia.

“Malaysia mengimport lembu dan kerbau hidup dari Thailand, justeru semua ternakan perlu melalui pemeriksaan veterinar ketat sebelum dibenarkan masuk ke negara ini,” tambah kenyataan itu.

Antara langkah lain yang sedang diambil DVS termasuk:

• Pemantauan rapi terhadap kesihatan ternakan melalui Program Survelan Kebangsaan.

• Meningkatkan kesiapsiagaan DVS di semua peringkat termasuk makmal dan institut penyelidikan veterinar.

• Menyediakan garis panduan khas kepada pegawai MAQIS di pintu masuk negara.

• Mengedarkan risalah kesedaran kepada orang awam mengenai penyakit anthrax.

Sempena sambutan Hari Raya Korban yang bakal menjelang, DVS menasihatkan para penternak agar memastikan tahap biosekuriti ladang sentiasa berada pada tahap tertinggi, selain memeriksa kesihatan setiap ternakan baharu yang dibawa masuk dengan pengesahan pegawai veterinar bertauliah.

“Penting untuk memastikan setiap kemasukan ternakan mempunyai permit sah dan bukan dibawa masuk secara haram, terutama dari negara jiran,” tegas DVS.

Penternak dan orang awam juga diseru untuk segera melaporkan sebarang tanda klinikal penyakit pada haiwan ternakan kepada pihak berkuasa bagi membendung sebarang risiko penularan penyakit.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat