CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis milik seorang individu yang disiasat berkaitan kandungan jelik melampau berunsur 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja) yang dimuat naik melalui akaun Facebook miliknya.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook MCMC hari ini, pihak suruhanjaya memaklumkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam.
Pemeriksaan ke atas premis individu terbabit dijalankan selepas MCMC memperoleh waran geledah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut Seksyen 247 akta yang sama. Hasilnya, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.
MCMC turut memaklumkan bahawa sesi pemeliharaan data dan rakaman percakapan telah diadakan di Balai Polis Pudu pada 9 Mei 2025, manakala individu terbabit juga telah hadir ke Ibu Pejabat MCMC untuk memberikan keterangan.
MCMC menegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah AKM 1998, dan menasihatkan orang ramai agar memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan secara telus dan menyeluruh.