JOHOR BAHRU, – Ketua Cabang PKR Johor Bahru yang baharu, Mohamad Taufiq Ismail tampil menjawab kenyataan yang disifatkan sebagai menghina dan tidak berasas oleh Naib Presiden PKR, YB Rafizi Ramli menerusi podcast Yang Bakar Menteri semalam.
Dalam kenyataan medianya, Taufiq menyifatkan kenyataan Rafizi yang melabel beliau sebagai “budak yang kita tak pernah kenal” sebagai tidak matang, menghina usaha akar umbi, serta langsung tidak mencerminkan nilai reformasi yang menjadi asas perjuangan parti.
“Saya bukan budak seperti yang digambarkan oleh YB Rafizi. Saya telah lama berjuang bersama anggota di peringkat cabang dan negeri, memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua AMK Johor dan Setiausaha Cabang.
Saya bukan muncul tiba-tiba. Saya dipilih secara sah oleh anggota akar umbi yang melihat kerja dan komitmen saya selama ini,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya lagi, tuduhan bahawa beliau tiada pekerjaan tetap dan tiada rekod kerja adalah satu serangan peribadi yang dangkal dan prejudis.
“Untuk makluman YB Rafizi, saya bekerja secara tetap sebagai mekanik automotif di syarikat milik keluarga saya sejak lapan tahun lalu. Saya tidak pernah bergantung kepada pusat khidmat rakyat atau mana-mana jawatan bergaji.
Sebaliknya, saya gunakan gaji sendiri untuk terus berkhidmat dan memperkukuh gerakan di peringkat bawah. Inilah semangat sebenar reformasi,” tegas Taufiq.
Beliau juga menyelar pendekatan elitisme dalam parti yang menurutnya semakin menular, termasuk usaha membezakan kelayakan pemimpin berdasarkan status pekerjaan atau hubungan dengan kelompok dalaman tertentu.
“Jika parti hanya mengiktiraf mereka yang mempunyai kerja tetap dan berada dalam radar pimpinan atasan, maka kita telah lari daripada semangat reformasi yang memberi ruang kepada semua, terutama anak muda yang ikhlas berjuang,” tulis Taufiq lagi.
Taufiq turut menolak tuduhan bahawa semua calon yang disokong Akmal Nasir menang dalam pemilihan Cabang Johor Bahru, sambil menegaskan bahawa pasukannya telah memenangi jawatan-jawatan utama termasuk Timbalan, Naib dan lima jawatankuasa cabang.
Menurut beliau, proses audit dan semakan undi semula yang dijalankan di Ibu Pejabat PKR pada 2 Mei lalu telah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), YB Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta juruaudit dari luar negara. Namun, Akmal dilaporkan keluar meninggalkan mesyuarat sebelum semakan tamat.
“Pasukan kami mengikut segala proses yang ditetapkan. Kalau masih tidak boleh menerima keputusan audit, ini menunjukkan ada sikap enggan menghormati proses demokrasi dalaman parti,” katanya lagi.
Taufiq turut mempersoalkan naratif “Kartel baharu” yang disebut Rafizi dalam podcast berkenaan, dengan menyatakan bahawa kelompok yang sebenarnya mewujudkan jurang dengan akar umbi adalah pasukan yang berusaha mewujudkan ‘kasta’ kepimpinan berpaksikan latar belakang pendidikan dan jaringan eksklusif.
“Golongan seperti inilah yang sebenarnya membina ‘kartel’, apabila mereka menolak sesiapa sahaja yang tidak sehaluan atau tidak termasuk dalam ‘circle’ mereka. Parti ini bukan milik segelintir elit sahaja, tetapi milik semua anggota yang berjuang di setiap pelosok negara,” katanya.
Taufiq menegaskan beliau tidak mahu terjebak dalam politik serangan peribadi, tetapi sebagai Ketua Cabang yang sah dipilih, beliau perlu mempertahankan maruah dan integriti diri serta pasukannya.
“Saya menyeru agar YB Rafizi menarik balik kenyataan tidak wajar itu dan memohon maaf secara terbuka. Sudah tiba masa kita hentikan budaya politik membuli anak muda dalam parti. Kita perlu kembali kepada semangat memperkukuh gerakan reformasi dan membina kekuatan sebenar dari akar umbi,” katanya menutup kenyataan.
Tegas beliau, PKR harus menjadi ruang inklusif untuk semua yang jujur mahu berjuang bukan medan untuk menaikkan kroni atau mengangkat kelompok tertentu sahaja.-Suara.TV