Oleh Zihan Zari
KLANG – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) dengan kerjasama Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) telah menganjurkan Majlis Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 di KSL Esplanade Hotel dekat sini, baru-baru ini.
JPPKK dalam kenyataannya menyebut bertemakan ‘TVET Peneraju Masa Depan’ majlis ini telah memasuki penganjuran kali ke-3 dan merupakan platform tahunan yang mengiktiraf pelajar cemerlang daripada Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh Malaysia dalam pelbagai aspek termasuk akademik, kepimpinan, inovasi, keusahawanan, kesukarelawanan, sukan dan kebudayaan.
“Inisiatif ini sejajar dengan usaha JPPKK dalam memupuk budaya kecemerlangan dan melahirkan graduan holistik yang memenuhi keperluan industri serta negara.
“Majlis ini turut menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing, dan berkemahiran tinggi, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, ”kata kenyataan itu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata KPT sedang melaksanakan langkah-langkah strategik untuk menambah baik sistem pendidikan TVET di negara ini.
“KPT akan mewujudkan lebih banyak program berimpak tinggi yang menawarkan kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri 4.0 dan meningkatkan daya saing graduan di pasaran kerja,”katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail berkata JPPKK sentiasa cakna akan kebajikan pelajar, khususnya dalam situasi yang mencabar.
Antara penerima Anugerah Gemilang Pelajar POLYCC 2024:
- Anugerah Gemilang Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Politeknik – Nor Muhammad Muzhaffar Shah Zahalan, Politeknik Banting Selangor (PBS)
- Anugerah Gemilang Kebudayaan , Kesenian dan Warisan Politeknik – Nursyafiqah Mohd Shahrul Anuar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA)
- Anugerah Gemilang Orator Politeknik – Nur Syaza Syazwina Muhamad Salmizi, Politeknik Kota Bharu (PKB)
- Anugerah Gemilang Kesukarelawanan Politeknik – Nurul Maisarah Mazlan, Politeknik Melaka (PMK)
- Anugerah Gemilang Keusahawanan Politeknik – Zurain Z. Zaharuddin, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA)
- Anugerah Gemilang Sukan Politeknik – Yeshveeni a/p Kalaiselvan, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB)
- Anugerah Gemilang Kemahiran Politeknik – Muhammad Safwan Habib, Politeknik Kuching (PKS)
- Anugerah Gemilang Inovasi Politeknik – Roshini a/p Manimaran, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS)
- Anugerah Gemilang Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Komuniti – Nur Farah Amira Zaidi, Kolej Komuniti Chenderoh (KKCP)
- Anugerah Gemilang Keusahawanan Kolej Komuniti – Faizal Hussin, Kolej Komuniti Ampang (KKAS)
- Anugerah Gemilang Sukan Kolej Komuniti – Nurafiqah Alyaa Muhammed Yazid, Kolej Komuniti Rompin (KKRP)
- Anugerah Gemilang Kemahiran Kolej Komuniti – Wislay Miniton, Kolej Komuniti Beaufort (KKBS)
- Anugerah Gemilang Inovasi Kolej Komuniti – Muhammad Suhaizad Abdullah, Kolej Komuniti Ledang (KKLJ)
- Anugerah Gemilang Khas Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti – Izzul Zafran bin Abd Razak, Politeknik Muadzam Shah (PMS); Montoya Raw Ak Michael, Kolej Komuniti Pasir Gudang (KKPG); Intan Faizatul Maisarah Raw, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS)
- Anugerah Gemilang Utama Menteri Pendidikan Tinggi – Roshini a/p Manimaran, Politekni Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS)
Dalam pada itu, turut disampaikan bantuan kepada lima orang pelajar yang terjejas akibat tragedi letupan paip gas di Putra Height pada 1 April lepas oleh Pertubuhan Muafakat Ibu Pejabat POLYCC. – SUARA.TV