KUALA LUMPUR – Realitinya ahli politik ‘gagal’ patut meletakkan jawatan pentadbiran negara dan bukan penjawat awam yang berkhidmat dalam kerajaan,” bidas Lim Kit Siang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata demikian sebagai mengulas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu penjawat awam melepaskan jawatan sekiranya tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong mereka.
“Saya tidak setuju dengan Abdul Hadi kerana saya percaya (dalam hal ini) pemimpin politik yang gagal dalam tugas mereka, seperti mereka yang ada dalam kabinet Muhyiddin yang besar, demi kepentingan negara perlu mengundurkan diri.
“Saya tidak menyalahkan penjawat awam yang tidak bersedia untuk melihat perkhidmatan awam Malaysia merosot menjadi kakistokrasi,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, Presiden PAS itu mendesak mahu penjawat awam mengikut arahan kerajaan yang dikuasai parti-parti yang memerintah walaupun mereka tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan itu.
“Mengikut peraturan, pegawai yang dikekalkan itu mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.
“… secara moral mereka boleh sahaja meletakkan jawatan dan tidak memegang jawatan mengikut kemahuannya,” katanya.
Pun begitu, dalam perkembangan lain Guan Eng berkata kegagalan kerajaan PN dapat dilihat melalui pengumuman perintah kawalan pergerakan ketiga di seluruh negara (PKP 3.0) semalam, kurang dari sebulan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa mungkin tidak ada PKP menyeluruh.
“Keputusan PKP 3.0 seluruh negara adalah kemuncuk dalam dua hari yang keliru dan ‘haru-biru’ berkaitan peraturan menangani pandemi Covid-19.
“(Apa lagi) dengan kementerian yang berbeza membuat pernyataan yang membingungkan dan bercanggah tentang makna PKP 3.0 dan PKP bersyarat, menyebabkan kesulitan dan penderitaan kepada rakyat, terutama peniaga kecil dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana),” tambahnya.
Kit Siang berkata Malaysia antara negara dengan prestasi paling buruk dalam pertempuran melawan Covid-19 di rantau ini dan memberi amaran keadaan boleh menjadi “mini-India”.
India kini mencatatkan peningkatan tertinggi dalam kes Covid-19 baru di dunia.
Semalam, India menambah lebih daripada 366,000 kes Covid-19 baru, lebih daripada 10 kali ganda kes baru di Brazil dengan 34,162 kes, yang berada di tempat kedua.
“Adakah Muhyiddin dan kabinetnya yang besar itu akan bertanggung jawab terhadap krisis Covid-19 yang semakin buruk di Malaysia,” soal Kit Siang.