KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan tindakan menceroboh tanah adalah isu kesalahan undang-undang bukannya isu perkauman,
Beliau malah mengingatkan mana-mana tanah yang diceroboh adalah salah di sisi undang-undang.
“Menceroboh tanah ini isu kesalahan undang-undang, tidak kena mengena dengan isu perkauman.
“Baik dari isu kuil,tanah haram durian mahupun apa pun yang menceroboh tanah orang lain itu kesalahan undang-undang dan perlu diselesaikan mengikut undang-undang.
“Jika ada masjid sekalipun yang dibuat atas tanah orang lain,maka ia tetap salah,” bidas Exco Melaka itu.
Akmal sebelum ini pernah mengkritik kumpulan penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dalam kes berkenaan jika ada masjid yang dibina di atas tanah orang lain sekalipun ia perlu dipindahkan, sebab itu tanah bukan milik masjid.
Ketika kontroversi kuil itu masih memanas, Pengarah eksekutif Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata daripada meroboh dan memindahkan kuil 130 tahun itu, masjid boleh dibina di dua plot tanah yang berdekatan.
Akmal bagaimanapun mempersoalkan tindakan pihak kumpulan peguam berkenaan yang dilihat tidak bersetuju dengan pemindahan kuil tersebut.
“Tiba-tiba,kamu pula minta tuan tanah cari tanah lain, eh ini peguam jenis apa yang menggunakan logik undang-undang begini?
“Saya nak minta peguam-peguam ini keluar dari rumah kamu yang sedia ada, sebab saya nak duduk di rumah kamu. Boleh ke?” soalnya sinis.
Baru-baru ini Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Ketua Pemuda Umno itu supaya bertenang dan tidak bergaduh dengan sesiapa dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Ayer Kuning.
Nasihat Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu sebagai semboyan damai agar proses pilihan raya yang bakal berlangsung 26 April ini berjalan dengan lancar dan tiada kacau ganggu yang akan menggugat kemenangan calon Barisan Nasional (BN).
“Cuma saya minta dengan Dr akmal buat masa ini hingga 25 hari bulan April jangan gaduh dengan sesiapa,” seloroh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Akmal sekali gus membalas, “saya pun nak ingatkan kepada semua, kalau tak nak saya bergaduh, maka jangan usik perkara sensitif, sama ada daripada parti kerajaan mahu pun pembangkang.
“Sudah tentu saya akan bersuara. Siapa pun yang sentuh, kami akan tetap bersuara,” katanya.